Music

Header Ads

Wednesday, November 21, 2018

Larangan Pemimpin Pembangkang Hadiri Program Sekolah Cetuskan Dasar Diskriminasi Dan Merugikan Rakyat - Dr Hazland


KUCHING, 21 November - Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melarang pemimpin pembangkang menghadiri program di sekolah telah mencetuskan dasar diskriminasi dan merugikan rakyat terutama pelajar dan pihak sekolah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang melarang pemimpin pembangkang menghadiri program di sekolah dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan dasar berat sebelah dan sangat merugikan pihak sekolah itu sendiri.

"Tindakan melarang pemimpin pembangkang menghadiri program di sekolah dan perlu mendapat kebenaran daripada KPM adalah suatu tindakan berat sebelah.

"Sepatutnya, sebagai sebuah 'kerajaan baharu' dasar dan polisi ini tidak seharusnya berat sebelah dan membebankan rakyat sehingga boleh mengakibatkan kerugian kepada pelajar dan pihak sekolah itu sendiri.

"Malah, selama ini di Sarawak pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang banyak membantu dalam menyalurkan bantuan pendidikan dan kemudahan infrastruktur termasuk peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan program dan aktiviti sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Maszlee Malik yang mengkehendaki Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang perlu mendapatkan kebenaran daripada KPM sekiranya mahu menghadiri program di sekolah milik kerajaan di sini, hari ini.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut menyifatkan dasar itu tidak perlu memandangkan sekolah bukan tempat untuk berpolitik sebaliknya apa yang dilakukan pemimpin-pemimpin GPS selama ini adalah untuk membantu sekolah dan pelajar. 

"Sekiranya Kerajaan PH bimbang sekolah itu dipolitikan, sepatutnya dasar ini turut juga dikenakan ke atas semua ahli politik termasuk pemimpin PH.

"Bagaimanapun, saya setuju sekiranya pemimpin politik itu diambil tindakan jika benar didapati menyalahgunakan sekolah bagi menyebarkan dakyah kepartian dan berpolitik," tambahnya.

Mengenai perlunya mendapat kelulusan daripada KPM, ia akan memakan masa dan tidak sempat bagi wakil rakyat menerima jemputan dalam jangka masa yang singkat.

"Sebelum ini proses permohonan kelulusan hanya diperolehi daripada JPN yang melalui pelbagai peringkat sebelum keputusan akhir sama ada membenarkan atau tidak pemimpin politik menghadiri program di sekolah.

"Ia mengambil masa kira-kira seminggu dalam tempoh masa bekerja. 

"Jika mengikut arahan terbaru daripada Dr Maszlee, di mana kelulusan kebenaran perlu dibuat KPM maka ia akan memakan masa yang lebih lama dan tidak sempat bagi pemimpin untuk menerima jemputan dari pihak sekolah," katanya lagi. 

Dr Maszlee baru-baru ini telah mengumumkan larangan pemimpin pembangkang menghadiri program di sekolah dan perlu mendapatkan kebenaran daripada KPM timbul selepas sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat.

Pengumuman itu ternyata telah menimbulkan konflik kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyifatkan arahan ini sebagai tidak berasas dan berat sebelah serta mempunyai tujuan politik. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top