Music

Header Ads

Friday, November 23, 2018

Dr Hazland Bidas Pengerusi AMANAH Sarawak Cuba Putar Belit Projek Kerajaan Negeri Sarawak Di DUN Demak Laut


KUCHING, 23 November - Tindakan Pengerusi Amanah Sarawak (AMANAH) Fidzuan Zaidi yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut tidak menunaikan janji dalam membina padang futsal di Kampung Hijrah Bako dilihat sebagai perbuatan terdesak dan tidak beretika.

ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata perbuatan tersebut adalah cubaan untuk menidakkan sumbangannya sebagai ADUN Demak Laut selama ini dan memanipulasi projek pembangunan yang telah diberikan Kerajaan Negeri Sarawak kepada penduduk Kampung Hijrah Bako.

"Ketika ini projek pembinaan Padang Futsal Kampung Hijrah Bako yang merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut 2018 sedang dalam proses cabutan undi kontraktor dan pelaksanannya akan dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

"Selain Kampung Hijrah Bako, padang futsal ini turut akan dibina di beberapa buah kampung antaranya Kampung Muhibah Seberang Pending, Kampung Pinggan Jaya, Kampung Semilang dan Kampung Bako Hulu. Kesemua 5 projek pembinaan padang futsal ini akan dibina pada tahun ini. 

"Setiap padang futsal ini dibina dengan kos sebanyak RM180,000 hingga RM200,000 lengkap dengan pagar, lampu dan tandas, dan akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Fidzuan yang mengajak belia-belia Kampung Hijrah Bako untuk bergotong-royong membina padang futsal di sini, semalam.

Dr Hazland juga meminta Pengerusi AMANAH Sarawak itu supaya berpolitik secara matang tanpa perlu memperlekehkan usaha dan pembangunan yang dibawa Kerajaan Negeri Sarawak di kawasan DUN Demak Laut sebelum ini.

Di DUN Demak Laut, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan kecil dan sederhana menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 dan jumlah ini turut diterima pada 2019 dan 2020.

"Kerajaan Negeri Sarawak komited dalam membangunkan seluruh kawasan termasuk di luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

"Pada pembentangan Bajet 2019 Sarawak lepas apabila Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah memperuntukan RM6.049 bilion atau 67 peratus daripada jumlah RM9.073 bilion bajet pembangunan disalurkan untuk pembangunan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

"Ini termasuklah RM1.535 bilion untuk Projek 'Walkabout', RM500 juta untuk Projek RTP, RM243 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan RM72 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin (PPRMS)," tambahnya. 

Justeru, adalah tidak wajar Fidzuan menggunakan alasan janji pembinaan padang futsal bagi menarik sokongan penduduk terutamanya belia-belia di Kampung Hijrah Bako. 

Sebaliknya, calon AMANAH itu perlu membuktikan dirinya relevan untuk bertanding di DUN Demak Laut menerusi keupayaan dan manifestonya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top