Music

Header Ads

Friday, December 14, 2018

Cuba Mansuhkan Kanun Tanah Sarawak Menteri Kerajaan PH Bersikap Biadap


KUCHING, 14 November - Pengumuman Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berhubung seorang Menteri Persekutuan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu Kerajaan Negeri Sarawak menggunapakai Kanun Tanah Negara memperlihatkan sikap biadap Kerajaan PH yang cuba mencampuri urusan dalaman negeri ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata tindakan Menteri Kerajaan PH itu yang mahu Kerajaan Negeri Sarawak menggunapakai Kanun Tanah Negara bukan sahaja cuba mencampuri urusan dalaman negeri tetapi mempunyai agenda tersembunyi.

"Beliau (Menteri PH) tidak seharusnya mendesak Kerajaan Negeri berbuat demikian hanya disebabkan mahu semua negeri mengikut pendapat mereka. 

"Cadangan itu boleh disifatkan sebagai mempunyai agenda tersembunyi dalam usaha mencampuri urusan Kerajaan Negeri yang ketika ini tidak dikawal oleh mana-mana gabungan atau pakatan.

"Atas sebab itu, Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana sudah tahu perkara sebegini akan berlaku. Cuba bayangkan jika GPS yang keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai PH, apakah yang akan berlaku ketika ini?," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai cadangan seorang Menteri Kerajaan PH yang cuba meminta Kerajaan Negeri Sarawak menggunapakai Kanun Tanah Negara di sini, semalam.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menjelaskan itulah sebabnya mengapa Sarawak perlu diperintah dan ditadbir parti dan pemimpin tempatan yang tahu kehendak dan keperluan rakyat Sarawak.

"Cuba bayangkan apakah yang akan berlaku sekiranya Sarawak diperintah PH? Sudah pastinya mereka akan bersetuju dengan keputusan itu. Malah, sebagai sebuah 'pakatan', PH Sarawak terpaksa menerima keputusan itu kerana bertuankan 'Semenanjung'. 

"Juga, jika Kanun Tanah Negara ini diselaraskan sudah pastinya pemilikan tanah di Sarawak boleh dibuka kepada 'orang luar' yang datang ke Sarawak dan membeli tanah-tanah di sini," tambahnya.

Baru-baru ini, Douglas dalam kenyataannya di media mendedahkan Menteri Sumber Mineral, Air dan Tanah Dr Xavier Jayakumar dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang diadakan minggu lepas telah mendesak Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan Kanun Tanah Negara sama seperti undang-undang yang digunapakai di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg pernah memberitahu ada seorang Timbalan Menteri Kerajaan PH mahu Kerajaan Negeri memansuhkan hak imigresen Sarawak atas alasan sudah tiba masanya Sarawak tidak mengawal imigresen.

"Seperti diketahui, hak imigresen adalah hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963. Inilah yang harus kita pertahankan sampai bila-bila.

"Sejak mengambil alih Kerajaan Persekutuan, beberapa menteri PH cuba untuk mencampuri dan mendesak Kerajaan Negeri untuk mengikut kehendak mereka. 

"Perbuatan ini dianggap keterlaluan dan cubaan mahu mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada masa akan datang dan seterusnya 'merampas' hak rakyat dan negeri Sarawak," katanya.

Kerajaan GPS mempunyai perancangan dan program sendiri bagi menyelesaikan permasalahan dan menyediakan pembangunan serta melindungi hak negeri ke atas sumber dan kekayaannya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Back To Top