Music

Header Ads

Tuesday, December 11, 2018

Wanita Sebagai 'Tulang Belakang' Kepada Pembangunan Insaniah Di DUN Demak Laut


KUCHING, 8 Disember - Sumbangan golongan wanita sebagai 'tulang belakang' kepada agenda pembangunan insaniah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut wajar diberikan penghargaan yang sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata wanita di kawasan DUN Demak Laut adalah sebagai 'modal' kekuatan kepada 'tulang belakang' pembangunan insaniah yang dikecapi pada hari ini khususnya dalam membentuk kekuatan kerohanian dan melahirkan sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

"Setiap tahun, golongan wanita telah memainkan peranan penting dalam memberikan pembangunan insaniah secara berterusan di DUN Demak Laut.

"Selain berjaya memupuk semangat kerohanian yang tinggi, sokongan mereka kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak mula lagi dalam setiap kali pilihan raya membuktikan mereka ini mempunyai jiwa yang kental dan kuat semangat.

"Justeru, tidak hairanlah wanita-wanita di kawasan DUN Demak Laut wajar dihargai berdasarkan sumbangan mereka kepada kemakmuran yang dikecapi pada hari ini," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1440H/2018 di Masjid Awalul Hayat, Kampung Selabat di sini, semalam.

Turut sama hadir Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Faridah bte Osman, Penghulu Hj Alli bin Matsah, Penghulu Hj Lair bin Salleh, Penghulu Hj Udin bin Damit, Ketua Kaum Kampung Goebilt Hj Mokhtar Ghani dan Penghulu Hjh Janibah Hj Hazmi. 

Mengenai cadangan penganjuran Karnival Zikir DUN Demak Laut yang melibatkan ketiga-tiga sayap PBB, Dr Hazland menjelaskan pihaknya tidak keberatan untuk menyokong asalkan ada pihak yang boleh menguruskan karnival itu.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menyokong penganjuran Karnival Zikir DUN Demak Laut. Ini pernah kita adakan sejak beberapa tahun lalu dan tahun depan kita boleh mengadakan karnival tersebut lagi.

"Bagaimanapun, saya mencadangkan diadakan kursus zikir terlebih dahulu. Kursus ini boleh diadakan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan teknik, alunan lagu dan tajwid serta gaya persembahan.

"Ini sekaligus dapat meningkatkan mutu persembahan selain meningkatkan aspek-aspek pembacaan dan tajwid yang menjadi asas kepada zikir," katanya.

Dr Hazland juga mahu penganjuran berzikir ini diadakan bukan semata-mata pertandingan dan menang sebaliknya mahu mengingati Rasulullah S.A.W.

"Apa sebab kita mesti mengingati Rasulullah S.A.W? Ini kerana kita semakin hari semakin jauh hubungan kerohanian .

"Dengan cara berzikir ini, kita akan dapat meningkatkan hubungan kerohanian terhadap Rasulullah S.A.W," katanya.

Sementara itu, pengerusi penganjur yang juga Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Rokiah bte Tamben melahirkan rasa gembira di atas kehadiran ahli-ahli PBB di 28 buah ranting PBB di DUN Demak Laut.

"Dalam majlis ini, kita telah meminta setiap ranting menghantar 4 orang ahli daripada 28 buah ranting PBB di kawasan DUN Demak Laut.

"Sambutan yang diterima sangat membanggakan dan ianya tidak pernah mengecewakan termasuk program kita pada pagi ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top