Music

Header Ads

Saturday, December 15, 2018

Konflik Boleh Cetuskan Perasaan Negatif Atau Positif?


Bercakap mengenai konflik, ramai yang beranggapan ianya akan membawa lebih banyak negatif berbanding positif. Ini kerana setiap hari seperti yang dipaparkan di media massa, kejadian mahupun peristiwa yang berlaku di sekeliling kita atas nama konflik yang akan berakhir dengan negatif.

Konflik berasal dari perkataan 'configere' (latin) yang bererti memukul. Secara sosiologis, definisi konflik adalah suatu proses sosial antara dua orang atau lebih yang saling berusaha untuk menyingkirkan satu sama lain. Manakala, Soerjono Soekanto pula mendefinisikan konflik sebagai pertentangan untuk berusaha memenuhi tujuan dengan cara menentang pihak lawan. 

Penulis Lewis A.Coser dalam bukunya 'The function of Social Conflict', mendefinisikan konflik adalah perjuangan nilai atau tuntutan atas status. Littlejohn dan Domenici (2007) pula membahagikan 3 definisi konflik iaitu: (1) pertentangan dalam perebutan tujuan (conflict in the struggle for goals), (2) sebuah antagonism dan (3) sebagai komposisi sosial (conflict as social opposition). Dalam erti kata lain, konflik ini sebagai suatu pertentangan atas nama perjuangan dalam mencapai tujuan yang merujuk kepada keputusan akhir.

Konflik adalah perkara asas semula jadi dan sebahagian daripada kehidupan harian mereka yang bergelar manusia. Ini termasuklah pelajar, suri rumah, pekerja sektor awam, penjawat awam, usahawan dan pemimpin pada hari ini. 

Menjadi kelaziman konflik akan berlaku disebabkan perbezaan kepentingan, tuntutan, pemilihan, kepercayaan, perasaan, nilai, idea, kebenaran atau kenyataan yang bertentangan. Ini tidak hanya berlaku terhadap dua pihak atau dua perkara, malah boleh berlaku lebih daripada itu sehingga menimbulkan kepada kecelaruan dalam memilih.

Akibatnya, konflik membawa kita kepada perasaan gelisah dan risau sehingga membawa kita melakukan banyak reaksi. Reaksi ini pelbagai dan bergantung kepada keputusan yang akan kita lakukan. Ini termasuklah mahu menyelesaikannya atau mengelak daripada konflik itu. Bagaimanapun, kita akan sentiasa gelisah sekiranya konflik itu tidak diselesaikan seperti yang diri kita mahukan.

Bagi mereka yang peka dan tidak mahu konflik ini berterusan atau berpanjangan, mereka sentiasa mahukan konflik ini dapat diselesaikan dengan apa cara sekalipun. Penyelesaiannya boleh dilakukan secara rasmi (tindakan yang disusun dan dirancang) atau secara spontan dan tidak kurang juga yang menyelesaikannya menerusi pengalaman emosi dan peribadi. 

Dari segi tempoh masa, ianya bergantung kepada tindakan dan jalan yang diambil. Ada yang cepat dan ada yang akan cuba melambatkan jalan penyelesaiannya disebabkan beberapa faktor yang perlu diambil bagi memastikan keputusan itu memihak kepada mereka.

Walaupun, konflik itu dilihat sebagai negatif namun sekiranya ia diuruskan dengan betul dan mengikut perancangan nescaya ia akan mendatangkan manfaat. 

Mereka yang 'berjaya' menyelesaikan konflik sama ada keputusan akhirnya memihak kepada mereka atau sebaliknya pasti akan berasa puas hati. Perasaan puas hati dan gembira ini membuatkan mereka lega dan percaya keputusan itu adalah yang terbaik buat mereka.

Akhirnya, konflik ini membuat kita banyak mempelajari, berinovasi, bertolak ansur bahkan akan membuatkan kita lebih bersatu padu dan akrab.

No comments:

Post a Comment

Back To Top