Music

Header Ads

Wednesday, September 30, 2020

Jangan Terlalu Bergantung Kepada Peluang Pekerjaan Di Sektor Awam, Berani Menceburi Di Sektor Swasta - Dr Hazland


DEMAK LAUT, Kuching: Pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak harus bergantung dalam mendapatkan pekerjaan di sektor perkhidmatan awam kerajaan. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini kerana jumlah atau peluang pekerjaan itu terhad dan mempunyai banyak persaingan. 


“Kita tidak dapat bergantung kepada peluang pekerjaan daripada kerajaan disebabkan peluang itu terhad.


“Untuk itu, kita harus berani menceburi pekerjaan dalam bidang swasta. Kadang-kadang pekerjaan di sektor swasta lebih baik,” katanya.  


Beliau berkata demikian semasa mengadakan dialog bersama penerima sumbangan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pendidikan Pelajar IPT DUN Demak Laut baru-baru ini.



Dalam pada itu, Dr Hazland turut menggesa pelajar-pelajar yang belajar di peringkat diploma untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi.


“Persaingan pelajar dalam peringkat diploma sangat besar dan terlalu ramai. 


“Pelajar harus mengambil peluang yang ada ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi seperti Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran atau PHD. 


“Sekiranya tahap pendidikan pelajar tinggi, peluang untuk mendapat pekerjaan itu cerah khususnya syarikat swasta,” gesanya. 



Menurut beliau lagi, peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan sangat diperlukan di Sarawak apabila kawasan industri minyak dan gas di Samalaju, Bintulu siap yang memerlukan tenaga berkemahiran. 


Seramai 20 orang pelajar-pelajar dari 7 buah kampung dalam Zon Bako yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam peringkat Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma menerima insentif pendidikan masing-masing. 


Hadir sama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam kawasan Zon Bako. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top