Music

Header Ads

Wednesday, June 17, 2020

Projek Pembinaan Digital Village (DV) Di Samajaya High Tech Park Lewat Sedikit, Tetapi Kualiti Tetap Diutamakan


KUCHING: Projek pembinaan Digital Village (DV) yang terletak di Samajaya High Tech Park diteruskan dan telah 80 peratus siap, tetapi lewat sedikit dari jadual asal akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. 

Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Dr Hazland Abang Hipni berkata pihaknya yakin pembinaan Digital Village ini dapat disiapkan pada Disember 2020.

“Umum mengetahui pelaksanaan PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac lepas telah menyebabkan operasi dan urusan terhenti bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19, dan ini termasuk kerja-kerja pembinaan Digital Village. 

“Untuk memastikan projek ini dapat disiapkan penghujung tahun ini, kami akan bekerjasama rapat dengan perunding dan kontraktor. 

“Walaupun sedikit lewat, kami akan pastikan Digital Village ini siap seperti dimaklumkan tanpa menjejaskan kualiti projek yang menjadi keutamaan,” katanya semasa diminta mengulas mengenai status projek Pembinaan Digital Village di Sama Jaya High Tech Park pada Isnin. 


Terdahulu, Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh dalam kenyataannya memberi jaminan projek pembinaan Digital Village diteruskan sehingga siap dengan pembinaannya telah diteruskan pada minggu lepas. 

Menurut Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, siapnya Digital Village ini akan memberi impak yang besar kepada perkembangan Ekonomi Digital di Sarawak.

“Digital Village ini akan menyediakan keperluan teknologi yang canggih dan penyelidikan terkini bagi meningkatkan kemahiran digital terkini selaras dengan perkembangan digital dunia. 


“Menerusi Digital Village ini juga, Kerajaan Sarawak boleh mempromosikan Sarawak sebagai hub kepada invovasi berteknologi tinggi di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara bagi meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara,” ujarnya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top