Music

Header Ads

Monday, October 26, 2020

Perwakilan PBB Zon Selatan Sokong 9 Resolusi, Polisi Dan Dasar Kerajaan Sarawak Fokus Kepada Kepentingan Rakyat


DEMAK LAUT, Kuching: 9 resolusi yang disuarakan 26 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan kepada Presiden PBB Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat Sarawak dalam mendukung negeri tercinta mencapai negeri maju menjelang 2030. 


Mengulas lanjut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata, inilah hasrat ahli dan kepimpinan PBB Zon Selatan dalam memastikan kestabilan politik dan perkembangan ekonomi serta keseimbangan sosial di Sarawak.



“Dalam mengekalkan kestabilan politik dan taat setia kepada kepimpinan sedia ada, kami PBB Zon Selatan menyokong penuh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari kekal sebagai Ketua Menteri dan memimpin GPS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang. 


“Juga, 9 resolusi yang dikemukakan PBB Zoan Selatan merangkumi keseluruhan bidang yang ada di Sarawak termasuk ekonomi, pertanian, sosial, pendidikan, pembangunan, pertanian dan perumahan.


“Tidak ketinggalan memperjuangkan hak Sarawak seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi ‘ibu’ dalam perjuangan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya ketika mengulas mengenai sembilan resolusi yang dicapai semasa Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan yang dihadiri 26 cawangan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad. 



Antara 9 Resolusi PBB Zon Selatan yang disampaikan kepada Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Zohari ialah;

  1. Kesemua perwakilan PBB menzahirkan taat setia dan sokongan kepada Abang Johari untuk terus memimpin Sarawak dan memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-12
  2. Menghargai dan mendukung corak kepimpinan sedia ada. Kami menghargai dan mendukung sepenuhnya semangat kesetiakawan serta kerjasama berpasukan dalam barisan kepimpinan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)
  3. Mempertingkatkan usaha memperjuangkan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan
  4. Usul ekonomi, memperakui kepentingan ekonomi digital dalam kehidupan rakyat serta tadbir urus kerajaan dalam era millennium terkini
  5. Usul pembangunan, penubuhan sebuah agensi khusus yang mempunyai kuasa dan autoriti untuk merangka pembangunan pembesaran kampung, dalam usaha memulihara konsep Kampung Tradisi khususnya di kawasan berkepadatan tinggi
  6. Usul sosial yang berhubung dengan mempertahankan dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya menerusi dasar kerajaan melalui agnesi seperti Majlis Agama Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR)
  7. Usul perumahan, untuk membangunkan pembangunan perumahan yang lebih berkualiti dan rumah mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 termasuk belia yang baharu berumah tangga di seluruh Sarawak
  8. Usul pertanian, membangun dan merancakkan pemodenan pertanian dengan mewujudkan fasiliti dan program ke arah melahirkan tenaga belia yang terlatih dalam pertanian moden dan agroteknologi serta Internet of Things (Internet Benda)
  9. Usul pendidikan, memperbaiki sistem dan kualiti pendidikan di Sarawak dengan kuasa autonomi serta peruntukan yang wajar dari Kerajaan Pusat


Dalam pada itu, Dr Hazland yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menyokong penuh dasar dan polisi yang digariskan beberapa pemimpin negeri khususnya keperluan untuk rakyat Sarawak.


“Tindakan Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion untuk Dana Warisan Petroleum Sarawak untuk menyediakan keperluan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian dari peringkat sijil hingga Ijazah Kedoktoran (PhD).


“Begitu juga dengan masa depan Sarawak mahu menjadi sebuah ‘Negeri Digital’ selaras dengan negeri maju pada 2030 dan juga memperkasakan sektor pertanian dalam menjadi negeri pengeksport makanan di Malaysia. 



“Selain itu, kejayaan Sarawak memastikan haknya diiktiraf di mahkamah seperti kejayaan dalam mengenakan cukai bahan petroleum sekaligus memperoleh pendapatan tambahan yang berbilion ringgit suatu kejayaan untuk rakyat Sarawak,” ujarnya. 



Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan GPS turut sentiasa memastikan rakyatnya menerima pembangunan dan hak mereka dituruti seperti penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 dan lot tanah kosong yang telah dikenal pasti di negeri ini. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top