Music

Header Ads

Wednesday, October 28, 2020

Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut Menyampai Sumbangan Kepada Pesakit Kronik


DEMAK LAUT, Kuching: Usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik telah dijayakan oleh sukarelawan Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut. 


Menurut Dr Hazland, sukarelawan Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut melaksanakan penyampaian sumbangan kepada pesakit kronik dan juga waris keluarga yang meninggal dunia.


“Saya melahirkan rasa gembira dan syukur di atas semangat kesukarelaan Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut yang sentiasa membantu khususnya dalam menyampaikan sumbangan di kawasan masing-masing. 


“Mereka ini terdiri daripada ahli-ahli Wanita PBB setiap ranting yang turut memainkan peranan penting dalam kerja-kerja sukarelawan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyampaian sumbangan kepada pesakit kronik di kawasan DUN Demak Laut.



Baru-baru ini, Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut dari Kampung Bako Hulu, Taman Mesra Bako, Tanjong Bako, Tabuan Drahman 1 dan Kampung Semilang telah menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik seperti sakit jantung, kanser, pembedahan dan kemalangan. 


Dalam pada itu, jelas Dr Hazland lagi penduduk yang tinggal di kawasan DUN Demak Laut yang tidak tersenarai atau belum dikenal pasti boleh menghubungi ahli-ahli Skuad Kasih Sayang PBB DUN Demak Laut di kampung masing-masing atau menghubungi Pusat Khidmat N5 Demak Laut.



“Masyarakat di kawasan DUN Demak Laut yang sebelum ini belum  menerima sumbangan atau tidak tahu cara mendaftar boleh menghantar permohonan menerusi mesej whatsapp ke nombor 017-858 5007.


“Apa yang penting pemohon mestilah penduduk dan pengundi kawasan DUN Demak Laut dan tergolong dalam pesakit kronik,” jelasnya lagi. 


Sumbangan kepada peskit kronik merupakan sebahagian daripada inisiatif ADUN Demak Laut selain sumbangan kepada golongan asnaf yang dilaksanakan setiap tahun. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top