Music

Header Ads

Thursday, July 26, 2018

Kerajaan Negeri Sarawak Bersedia Dahulukan Peruntukan RM1 Bilion Bagi Naik Taraf Sekolah Daif Di Sarawak


BETONG - Banyak sekolah di Sarawak dalam keadaan daif dan memerlukan peruntukan untuk dinaik taraf, sekali gus menambah baik institusi pendidikan di negeri ini agar setanding negeri-negeri lain di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan, Kerajaan Sarawak bersedia menawarkan pinjaman RM1 bilion untuk membina semula sekolah usang di seluruh Sarawak sekiranya kerajaan persekutuan menghadapi kekurangan dana.

Katanya Sarawak ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur pendidikan dan perancangan membangunkan sekolah usang telah dicapai menerusi kerajaan terdahulu namun belum berjaya dilaksanakan.

“Saya telah mencadangkan kepada mereka dan bersedia menggunakan dana kerajaan negeri tetapi perlu membayar balik dengan jumlah RM1 bilion. 

“Namun mereka enggan menerima pelawaan disebabkan kerajaan persekutuan mempunyai dana yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak Ke-47 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.

Tambahnya, keperluan membangunkan sekolah-sekolah daif ini adalah demi anak-anak dan warga pendidikan yang agak ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur.

“Saya mengharapkan kerajaan baharu akan meneruskan janji untuk membina semula sekolah yang daif di Sarawak.

“Selain itu, melihat kepada keperluan sekolah yang dibekalkan dengan generator dilihat sebagai satu pembaziran apatah lagi harga minyak diesel yang sentiasa melonjak.

“Pembekalan oleh kontraktor juga terlalu menekan dengan harga berganda daripada harga asal memberi keuntungan kepada pembekal. 

“Kenapa tidak menyambung bekalan elektrik ke sekolah sedangkan punca bekalan ada berhampiran dengan sekolah?

“Saya juga bersedia meluluskan dana RM50 juta kepada Kementerian Pendidikan jika mereka memerlukan RM50 juta untuk sambungan bekalan kuasa elektrik bagi menyelesaikan masalah demi keperluan kanak-kanak luar bandar,” tegas beliau.

Pada masa yang sama, menyentuh mengenai isu bekalan air yang dihadapi sekolah luar bandar, beliau mengakui Sarawak menghadapi masalah bekalan air yang serius pada masa sekarang.

“Kita menghadapi masalah bekalan air di seluruh negeri Sarawak namun saya telah mengarahkan jabatan bekalan air untuk melakukan pembaharuan menerusi sistem grid tetapi ini akan mengambil masa yang panjang.

“Dalam pada itu, kita meluluskan dana RM9 juta untuk penyambungan sistem air sedia ada ke sekolah-sekolah luar bandar.

“Kita tidak boleh menunggu dana persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah meluluskan permintaan untuk menyambungkan air ke sekolah luar bandar yang dikenal pasti bermasalah,” katanya.

Turut hadir isteri beliau Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, menteri-menteri muda, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon dan kira-kira 1,200 guru dari seluruh Sarawak. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top