Music

Header Ads

Tuesday, December 25, 2018

Komuniti Taman Sepakat Jaya Mahu Tubuh KJM Untuk Bekerjasama Dengan DBKU


KUCHING, 21 Disember - Penduduk di Taman Sepakat Jaya mahu menubuhkan Kawasan Kejiranan Mesra (KJM) sebagai langkah untuk mendapatkan bimbingan dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkenaan kepentingan kawasan kejiranan dan penganjuran program kemasyarakatan di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata dengan adanya KJM ini membolehkan penduduk dan DBKU membincangkan perkara-perkara berbangkit yang ditimbulkan penduduk mengenai permasalahan dan keperluan penduduk yang perlu diselesaikan pihak berkuasa.

"Penubuhan KJM Taman Sepakat Jaya membolehkan penduduk menyuarakan dan mengenal pasti permasalahan yang berlaku di kawasan perumahan ini untuk diajukan kepada DBKU.

"Sebagai pihak berkuasa tempatan dan penyelia kepada KJM ini, DBKU akan segera mengambil tindakan agar permasalahan tersebut dapat diatasi sekaligus membendung kejadian yang tidak diingini. 

"Malah, sudah pasti DBKU mahu memastikan setiap rakyat yang tinggal di kawasan pentadbirannya akan dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan baik," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berdialog dengan DBKU dan komuniti penduduk Taman Sepakat Jaya dalam Program Management on Site (MOS), di sini, semalam.

Hadir sama Penghulu Edama Mohamad, wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Pengerusi Komuniti Taman Sepakat Jaya Bujang bin Hossen, Naib Ketua Cawangan PBB Cawangan DUN Demak Laut Rahmat bin Sabang, Ketua Pemuda PBB Ranting Taman Sepakat Jaya Hassan bin Eli dan Setiausaha PBB Ranting Taman Sepakat Jaya Roslan bin Elen. 

Program MOS ini merupakan inisiatif DBKU dalam mendekatkan agensi ini untuk berinteraksi terus dengan rakyat dan pemimpin tempatan dalam meninjau permasalahan atau aduan yang dihadapi penduduk setempat di bawah pentadbirannya.


Dalam pada itu, Timbalan Pengarah DBKU Hasbi bin Suhaili mengalu-alukan penubuhan KJM Taman Sepakat Jaya ini sebagai langkah terbaik untuk berinteraksi dengan DBKU dalam mengemukakan permasalahan yang dihadapi penduduk. 

"Menerusi KJM, DBKU dan penduduk bersama dengan pemimpin tempatan akan berbincang dan memastikan permasalahan yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dengan cara baik.

"Kita di DBKU juga boleh mengadakan program dan aktiviti kemasyarakat yang boleh dijadikan platform untuk DBKU dan penduduk bekerjasama rapat dalam pelbagai keperluan," katanya.

Menerusi dialog ini juga beberapa isu telah dikenal pasti antaranya pengambilan sampah sarap yang tidak berjadual, rumput panjang, papan tanda, pokok-pokok di tepi jalan yang tinggi, jalan berlubang, kenderaan terbiar dan tersadai di tepi jalan, rumah kosong, sistem perparitan, bonggol jalan dan anjing liar. 

Mengenai isu-isu yang dibangkitkan penduduk itu, Hasbi berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera dan mengadakan kerjasama dengan penduduk agar ianya dapat diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"DBKU akan memastikan setiap isu yang dibangkitkan penduduk-penduduk di sini akan diambil tindakan segera. 

"Sehubungan itu, kita meminta kerjasama daripada penduduk untuk bersama DBKU menyelesaikan perkara ini supaya isu ini tidak lagi membelenggu penduduk," tambahnya. 

Sehingga kini, sebanyak 5 buah KJM telah ditubuhkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu KJM Muara Tebas, KJM Sejingkat, KJM Goebilit, KJM Bako Lot dan KJM Kampung Bako Hulu.

Dr Hazland bersama pegawai DBKU dan Komuniti Taman Sepakat Jaya telah meninjau kawasan perumahan Taman Sepakat Jaya dan melihat sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk.

No comments:

Post a Comment

Back To Top