Music

Header Ads

Wednesday, December 26, 2018

Tiga Strategi Dikenal Pasti Tingkatkan Modal Insan Di DUN Demak Laut


KUCHING, 25 Disember - Tiga strategi dikenal pasti dalam membantu meningkatkan modal insan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut antaranya menubuhkan rakan masjid, dakwah jalanan dan menubuhkan pusat tahfiz. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata dalam usaha memastikan modal insan bergerak mengikut landasan terbaik, tiga strategi modal insan ini akan dijadikan 'model' di setiap masjid di kampung-kampung di DUN Demak Laut. 

"Menubuhkan rakan masjid di setiap kampung yang diletakkan di bawah kendalian masjid. Manakala, ketuanya hendaklah dilantik di kalangan belia-belia kampung yang mempunyai latar belakang agama. Di DUN Demak Laut, Kampung Muhibbah Pending telah menubuhkan rakan masjid.

"Sementara itu, strategi kedua ialah dakwah jalanan yang melakukan dakwah di simpang, kedai dan 'kalan' di kampung-kampung. Mereka ini perlu didekati dan disayangi dalam membawa mereka ke arah jalan yang lebih baik.

"Ketiganya, akan menubuhkan sebuah pusat tahfiz yang pertama di DUN Demak Laut. Ketika ini kebanyakan anak-anak di DUN Demak Laut belajar kemahiran agama di pusat-pusat tahfiz di luar seperti di Semariang, Satok dan Telaga Air," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Khatamal Al-Quran Otai-Otai Kampung Senari di Masjid Darul Iman di sini, baru-baru ini. 


Dr Hazland turut menjelaskan Kampung Senari mempunyai potensi dalam melahirkan pendakwah dan pelajar agama yang cemerlang seperti yang ditunjukkan Ustaz Muhadir bin Haji Joll.

"Kita bukan sahaja berbangga dan bertuah memiliki seorang guru yang bukan sahaja terkenal di rantau Asia Tenggara, tetapi juga mempunyai ilmu agama yang tinggi.

"Kemahiran dan kepakaran yang tinggi ini perlu kita gunakan sebaiknya dalam melahirkan lebih ramai lagi guru seperti Ustaz Muhadir dari Kampung Senari dan kawasan DUN Demak Laut pada masa akan datang," tambahnya.

Sementara itu, pengerusi pengelola Taerah Buyoh dalam ucapan aluannya menjelaskan penganjuran program ini adalah suatu idea yang dicetuskan para peserta sebagai menghargai usaha mereka selama ini dalam menghabiskan pembelajaran al-Quran.

"Kami mahu selepas ini lebih ramai di kalangan penduduk di Kampung Senari terlibat dalam mempelajari dan membaca al-Quran sebagai suatu budaya.

"Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi juga boleh menjadi 'role model' kepada generasi muda pada hari ini dalam melahirkan insan yang bertaqwa," katanya.


Pada majlis itu, Dr Hazland turut mengumumkan peruntukan sebagai RM5,000 kepada kumpulan ini bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dan program seperti ini diadakan pada masa akan datang. 

Seramai 19 peserta yang terdiri daripada kaum wanita Kampung Senari telah mengambil bahagian dalam khatamal al-Quran sebagai tanda tamatnya pembelajaran al-Quran mereka selama ini. 


Hadir sama Ketua Kaum Kampung Senari Ali bin Amit dan Pengerusi Masjid Darul Iman Kadir bin Osman.  

No comments:

Post a Comment

Back To Top