Music

Header Ads

Friday, December 28, 2018

15 Anggota PVATM Kuching Terima Sumbangan Bagi Bantu Ringankan Beban


KUCHING, 28 Disember - Seramai 15 orang Veteran Kurang Upaya (VKU) daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kuching menerima sumbangan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Veteran Kurang Upaya (VKU) di sini.

Penaung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kuching Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata sumbangan ini merupakan salah satu daripada aktiviti di dalam PVATM Kuching yang mengambil berat terhadap kebajikan ahli-ahlinya. 

"Terima kasih kepada setiap ahli-ahli PVATM Kuching yang telah menabur keringat dan berjuang dalam mempertahankan negara sepanjang berkhidmat dalam Anggota Tentera Malaysia (ATM) suatu ketika dahulu.

"Penyampaian sumbangan yang diberikan adalah sebahagian daripada tanggungjawab generasi hari ini dalam menghargai jasa dan sumbangan pejuang-pejuang negara. Biarpun sumbangan ini tidak besar, tetapi ianya sebagai suatu bentuk keikhlasan yang lahir daripada hati kami.

"Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung anggota PVATM dan keluarga dalam meniti hari-hari mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Veteran Kurang Upaya (VKU) yang diadakan di Pustaka Negeri Sarawak di sini, petang semalam. 

Hadir sama Pengerusi JVATM Kapten (B) Haji Hendari Hashim.


Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menyeru kepada setiap anggota PVATM untuk terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam membangunkan negeri ini mengikut acuan kita sendiri.

"Konteks perubahan kepimpinan yang berlaku selepas 9 Mei lepas telah mencorakkan suatu hala tuju yang berbeza di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri Sarawak mencorakkan kepimpinan dan pembangunannya mengikut acuan sendiri.

"Bagi Kerajaan Negeri Sarawak ketika ini fokus utamanya adalah untuk memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini seperti mana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini bagi membolehkan lebih banyak pendapatan negeri diperolehi hasil daripada minyak dan sumber asli tempatan untuk dibelanjakan dalam membangunkan negeri Sarawak pada masa akan datang.

"Malah, Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah menidakkan usaha Kerajaan Persekutuan ketika ini asalkan ianya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak," tambahnya. 

Pada majlis itu Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan kepada anggota PVATM yang cedera dalam perkhidmatan atau menghidap penyakit kronik, balu-balu PVATM dan anak-anak PVATM yang berjaya dan cemerlang dalam akademik.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kuching merupakan sebuah pertubuhan yang terbesar di Sarawak dengan keahlian seramai 1,600 orang ahli. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top