Music

Header Ads

Tuesday, May 12, 2020

Perjalanan Persidangan DUN Sarawak Bagi Penggal Kelima Berjalan Lancar, Luluskan RUU Perbekalan Tambahan (2019) (2020)


KUCHING: Walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atas dasar keperluan dan kepentingan rakyat, Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak Kelapan Belas telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya menerusi prosedur ketat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata kejayaan itu adalah sokongan semua pihak dan penetapan prosedur kesihatan yang ketat untuk memastikan keselamatan kesihatan setiap mereka yang hadir terjamin. 

“Kehadiran petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang melakukan saringan terhadap setiap mereka yang hadir dengan mengambil suhu badan, menggunakan hand sanitzer serta memastikan menggunakan penutup hidung dan mulut adalah suatu kewajiban yang merupakan prosedur utama yang perlu dilaksanakan. 

“Begitu juga dengan kedudukan di dalam ‘chamber’ yang memerlukan setiap anggota dewan mengamalkan jarak sosial satu meter. 

“Apa yang penting, tempoh mesyuarat tersebut dipendekkan memandangkan ianya diadakan dalam suasana tertutup dan berhawa dingin,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas yang diadakan di DUN Sarawak pada Isnin. 

Mesyuarat tersebut yang sepatutnya diadakan pada pertengahan April lepas terpaksa ditunda ke hari ini (Isnin) memandangkan ketika itu penularan wabak COVID-19 masih dalam keadaan kritikal. 


Dr Hazland menambah, pada mesyuarat itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan RUU Perbekalan Tambahan (2020), 2020.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM382,320,763.

“Dana tambahan digunakan untuk Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam pada tahun 2019, perbelanjaan operasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pembelian enam unit kapa bagi kegunaan Pengawal Pantai Sarawak, membina semula dan membaik pulih rumah panjang usang dan geran kepada pihak berkuasa tempatan.

“Begitu juga dengan pelaksanaan Kenyalang Gold Card, bantuan kewangan rawatan pesakit buah pinggang, subsidi caj penyambungan elektrik isi rumah berpendapatan rendah dan skim air percuma, Program Kawalan dan Penghapusan Rabies dan melaksanakan kadar rata tambang bas,” tambahnya semasa memaklumkan kelulusan RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 yang telah dibacakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sementara, dalam Perbekalan Tambahan Pertama 2020, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan Perbekalan Tambahan pertama Perbelanjaan 2020 sebanyak RM788,900,000. 

“Peruntukkan ini diperuntukkan kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam melaksanakan pelbagai projek seperti Projek Bekalan Elektrik ke sekolah-sekolah yang tidak disambung kepada grid, projek pembangunan semula beberapa kampung oleh Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli. 

“Turut dilaksanakan persiapan tapak dicadangkan, kerja-kerja tanah dan infrastruktur di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RCG) Long Lama, Miri oleh Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, menyiapkan Projek Loji Kumbahan dan Rangkaian Saluran Pembentung  Wilayah (Fasa 1) dan pembinaan Dewan Bandaraya Miri, pelaksanaan Rumah Mampu Milik dan geran Mutiara Mortgage Sdn Bhd dan pelaksanaan pelbagai Projek Rakyat. 

“Kesemua peruntukkan tambahan ini adalah untuk keperluan rakyat khususnya  mereka yang berada di kawasan luar bandar,” ujarnya. 

Kedua-dua RUU tersebut telah disokong oleh ahli-ahli dewan tanpa dibahaskan. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top