Music

Header Ads

Saturday, May 9, 2020

Penduduk Kampung Tabuan Lot Diminta Beri Kerjasama Sepenuhnya Dalam Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19


KUCHING: Penduduk diminta beri kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) di Kampung Tabuan Lot berjalan lancar sekaligus dapat membanteras penularan wabak COVID-19. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata kerjasama ini penting demi kepentingan sendiri, keluarga dan masyarakat. 

“Saya meminta penduduk Kampung Tabuan Lot memberikan kerjasama yang baik kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan Pengesanan Kes Aktif.

“Walaupun keadaan virus COVID-19 semakin berkurangan, ini tidak bermakna pandemik virus itu telah hilang sepenuhnya. 

“Perang melawan COVID-19 masih berterusan dan kita perlu bekerja keras bagi memastikan virus ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) di Kampung Tabuan Lot pada Sabtu. 


Kira-kira 2,100 penduduk daripada 423 rumah di Kampung Tabuan Lot akan menjalani Operasi ACD kendalian KKM bermula hari ini. 

Operasi ACD pada hari ini melibatkan 171 orang doktor dan kakitangan perubatan lain, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain.


Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini merupakan Operasi ACD kedua selepas Uni Garden dan Desa Ilmu di Kota Samarahan pada minggu lepas.

“Operasi ACD dilakukan di sini kerana seorang penduduk di kampung ini meninggal dunia akibat COVID-19 baru-baru ini. 

“Selain itu ada satu kes Orang Yang Disyaki (PUI) di Kampung Tabuan Lot. 

“Kami masih belum mengaitkan pesakit yang kini juga dimasukkan di Hospital Umum Sarawak dengan mana-mana kluster,” katanya. 

Petugas operasi pergi ke setiap rumah untuk menyoal siasat dan penduduk kampung disarankan untuk melakukan pemeriksaan di dewan. -Buletin UKAS

No comments:

Post a Comment

Back To Top