Music

Header Ads

Thursday, May 7, 2020

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak Dan Pengumuman 9 Langkah Ekonomi Menghadapi COVID-19 Hingga 2030 Suatu Keputusan Tepat Dan Berpandangan Jauh - Dr Hazland


KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak mengumumkan 9 langkah ekonomi menerusi dua prinsip utama iaitu ‘Ekonomi Digital’ dan ‘Kelestarian Alam Sekitar’ dengan mengkaji semula strategi pembangunan ekonomi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dianggap suatu keputusan yang tepat dan berpandangan jauh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata penularan wabak COVID-19 dan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas telah memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri.

“Kerajaan Sarawak perlu memikirkan strategi lain sebagai langkah memulihkan ekonomi yang terjejas teruk dan memastikan landasan ke arah negeri maju menjelang tahun 2030 dapat dicapai.

“Untuk itu, pengenalan dua prinsip asas iaitu Ekonomi Digital dan Kelestarian Alam Sekitar dianggap tunjang kepada perkembangan semula ekonomi, sosial dan pentadbiran negeri.

“Malah, 9 langkah ekonomi dalam menghadapi COVID-19 Tahun 2030 iaitu Pusat Data dan Inovasi - Minyak Baharu, Perlombongan - Sumber Pendapatan Baru, Sektor Komoditi Pertanian dan Komoditi Produktiviti Tinggi, Pembuatan Hiliran Nilai Tinggi, Menghijabkan Semula Sarawak Melalui Perladangan Hutan Perindustrian Agresif, Pelancongan Luar Biasa, Perkhidmatan Sosial yang Berkualiti Untuk Rakyat, Tenaga Boleh Diperbaharui - Bahan Bakar Masa Depan dan Menyelaraskan Pendidikan dan Modal Insan untuk Masa Depan adalah bertujuan memastikan ekonomi Sarawak dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Kerajaan Sarawak Terhadap 9 Langkah Ekonomi Menghadapi COVID-19 seperti yang diumumkan Ketua Menteri pada Rabu.


Bercakap mengenai perkembangan ekonomi, nescaya landskap ekonomi negeri pasti akan berubah selepas ini dengan suatu “normal baru” yang perlu diberikan perhatian dan penyesuaian supaya ekonomi negeri tidak ketinggalan.

Dr Hazland yang merupakan salah seorang Ahli Lembaga Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menjelaskan penerapan dasar ‘Ekonomi Digital’ yang diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sejak awal pentadbirannya jelas suatu yang harus diperkukuh dan dilestarikan secara optima.

“Penularan wabak COVID-19 ketika ini telah mengubah norma kehidupan manusia dengan menitikberatkan kepada penjagaan kesihatan diri dan peningkatan cara komunikasi dan perhubungan.

“Pembelian atas talian (online) seperti Helpy, Grab Food, Food Panda dan sebagainya adalah suatu contoh yang tidak terfikir akan menjadi suatu keperluan ketika ini. Ini termasuklah juga transaksi atas talian menerusi perbankan sedia ada atau mengunakan Sarawak Pay, Boost dan lain-lain lagi.

“Inilah norma-norma baharu yang harus kita lihat dalam konteks positif dan mengubah cara pemikiran dan kehidupan kita selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang dimiliki 100 peratus Kerajaan Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam pencarian dan pemilikan minyak dan gas yang berada di perairan Sarawak.

“Kekayaan ini perlu digunakan sepenuhnya sebagai sumber pendapatan negeri dalam menjayakan misi negeri maju 2030.

“Dengan minyak dan gas menjadi prospek utama kepada pendapatan negeri selepas ini selain industri perkilangan, nescaya ekonomi Sarawak mampu berkembang selepas COVID-19,” jelasnya.  

Tambah Dr Hazland lagi, sepanjang penularan COVID-19, sektor pelancongan mengalami tekanan yang sangat tinggi dan terjejas teruk bukan sahaja di Sarawak tetapi di seluruh dunia.

“Berbekal dengan sumber tarikan semula jadi seperti resort, gua, tasik semula jadi, taman negara, sungai dan gunung, destinasi ini perlu dipergiatkan promosi sebagai tarikan utama kepada sektor pelancongan.

“Juga, kerjasama syarikat penerbangan dari dalam dan luar negara perlu dipertingkatkan dengan memberikan ganjaran dan situasi menang-menang,” tambahnya.  

Sebelum ini Sarawak giat menjadikan sektor pertanian sebagai suatu  bidang yang perlu diperkembangkan dengan menggunakan teknologi digital, dan ia harus diteruskan sebagai menghadapi “norma baharu” demi survival pertanian itu sendiri.

“Untuk itu, dalam bidang ini fokus utama ialah menitikberatkan kepada pengkomersialan dan pemodenan yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk meningkatkan produktiviti.

“Pengenalan model perniagaan baru dengan disertakan inovasi baru seperti aplikasi Internet of Things (IoT) dan aplikasi penyelidikan dan pembangunan terkini perlu dipergiatkan bagi mencapai pengeluaran maksimum dan berkualiti,” ujarnya.


Demikian juga dengan cadangan Kerajaan Sarawak menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES) yang dianggap tepat dan sudah tiba waktunya Sarawak berbuat demikian untuk survival ekonominya.

“Selain Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor juga yang telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonominya sendiri bagi tujuan memastikan ekonomi negeri itu maju dan berjaya.

“Cadangan penubuhan MTES pastinya akan memberi ruang dan peluang kepada setiap pemain industri untuk sama-sama memberikan input bagi meningkatkan ekonomi negeri dalam mencapai negeri maju 2030.

“Justeru, sudah tiba masanya Sarawak juga menubuhkan MTES dengan mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan seperti dewan perdagangan, profesional dan akademik untuk membincangkan secara terperinci sektor untuk merumuskan rancangan tindakan bagi  mencapai agenda ekonomi baru untuk Sarawak,” ujarnya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top