Music

Header Ads

Tuesday, July 31, 2018

Abang Jo Penuhi Janji Kepada Rakyat Sarawak


KUCHING - Sarawak berupaya muncul sebagai pengeluar dan pengeksport bersih tenaga hidrogen dunia selain gas pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kaya dengan air yang boleh dibangunkan sebagai sumber tenaga seperti hidrogen yang bersifat mampan.

“Dunia kini memerlukan sumber tenaga hijau seperti hidrogen terutama dalam sektor pengangkutan kerana ia lebih mesra alam seperti digunakan di Eropah, Jerman dan China.

“Sebab itu saya telah memperuntukkan geran sebanyak RM10 juta kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menjalankan penyelidikan dalam pembangunan hidrogen ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk mengeluarkan tenaga yang hijau dan mampan dan jika ia berjaya kita boleh menjadi pengeksport hidrogen dunia pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Perintis Loji Pengeluaran Hidrogen dan Stesen Pengisian Bahan Api di perkarangan Pejabat Wilayah Barat SEB di Bintawa dekat sini semalam.

Bercakap mengenai projek tersebut, ia menurut Abang Johari amat signifikan kepada Sarawak dalam usaha mengeluarkan tenaga yang hijau dan mampan.

Katanya beliau pernah berjanji untuk memulakan sesuatu berkaitan hidrogen pada 2018 ini atau lebih spesifik bulan Julai tahun ini. 

Majlis pecah tanah projek perintis tersebut semalam adalah janji ditepati beliau kepada rakyat negeri ini.

“Matlamat saya adalah untuk menyediakan pengangkutan awam percuma kepada rakyat sarawak. Tetapi untuk mencapai matlamat ini ia bergantung kepada kejayaan projek ini,” katanya.

Dalam pada itu, projek perintis ini dijangka siap pada suku pertama 2019 dengan rekaan automatik bagi meminimumkan operasi tenaga kerja manusia.

Projek ini akan dibangunkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Linde Malaysia Sdn Bhd.

Majlis itu semalam, turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SEB dan Linde Malaysia bagi menerokai potensi pasaran hidrogen dan kajian teknikal bersama bagi akses kepada teknologi keseluruhan rantai nilai.

Turut hadir, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi SEB Datuk Amar Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Sharbini Suhaili, Ketua Unit Perniagaan Wilayah Linde Rob Hughes serta warga SEB yang lain. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top