Music

Header Ads

Wednesday, September 19, 2018

Kaji Status Wilayah Sabah, Sarawak Dalam Perjanjian Malaysia 1963


KUALA LUMPUR - Status Wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka akan berbeza dengan negeri Persekutuan lain wajar dikaji semula.
Pakar perlembagaan yang juga pensyarah undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata ia bagi menentukan sama ada negeri di Borneo memperoleh status seperti negeri Persekutuan lain atau mendapat taraf rakan sekutu yang lebih tinggi.
“Persoalan dasar adakah Sabah dan Sarawak bukan lagi seperti negeri lain dalam Persekutuan atau sudah menjadi rakan sekutu yang lebih tinggi tarafnya.
“Tafsiran peruntukan Perlembagaan perlu diperincikan berhubung status Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan disyor mengkaji dan meminda Perlembagaan untuk menambah baik peruntukan bagi Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan memerlukan dua pertiga majoriti dalam Parlimen untuk membolehkan meminda Perlembagaan dan melaksanakan janji kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63.
Nik Ahmad Kamal berkata sebarang pindaan Perlembagaan yang membabitkan hak dan perundangan Sabah dan Sarawak perlu memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen serta persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Kalau perlu pindaan Perlembagaan maka syarat undi pindaan perlu diikuti sama ada dua pertiga majoriti atau tidak,” katanya.
Nik Ahmad Kamal berkata pindaan Perlembagaan akan menentukan hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian.
Katanya, ia bakal memberi kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak dalam beberapa urusan yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri berkenaan.
Ketika ditanya sama ada MA63 perlu dikaji semula, Nik Ahmad Kamal berkata perjanjian itu tidak perlu dikaji semula kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan.
“Polemik sekian lama ialah sama ada kandungan utama MA63 sudah sepenuhnya dipindahkan ke dalam Perlembagaan atau tidak.
“Adakah segala yang dipersetujui dalam MA63 sudah termaktub?” katanya.
MA63 adalah perjanjian antarabangsa untuk menyatukan tiga negeri sebagai Malaysia dan berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970.
Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63 kerana statusnya sebagai perjanjian antarabangsa.
Kuasa Parlimen terhad kepada meluluskan undang-undang baharu dan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Malaysia juga diubah untuk menggabungkan terma MA63 pada waktu Malaysia ditubuhkan.
Perlembagaan Persekutuan dipercayai sudah dipinda lebih 700 kali sejak 1957, tetapi terma yang terkandung di dalam MA63 kekal tidak berubah sejak tarikh ia ditandatangani.

No comments:

Post a Comment

Back To Top