Music

Header Ads

Tuesday, December 31, 2019

Belia Di DUN Demak Laut Dipelawa Sertai Kelab 4x4 Demak Laut


KUCHING: Hujan lebat yang turun pada sebelah pagi tidak mematahkan semangat peserta Konvoi Kelab 4x4 Demak Laut ke Teluk Melano dalam aksi sulung kelab itu pada tahun ini. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata inisiatif mewujudkan Kelab 4x4 Demak Laut ini didorong minat belia-belia dan juga mahu belia-belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut ini terlibat dalam aktiviti yang berfaedah. 

“Penubuhan Kelab 4x4 Demak Laut ini merupakan inisiatif daripada kalangan belia-belia yang mahukan satu kelab permotoran diwujudkan di kawasan DUN Demak Laut bagi menjalankan aktiviti riadah. 

“Kelab ini boleh menjadi platform terbaik kepada belia-belia di kawasan DUN Demak Laut untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran tentang kenderaan 4x4 ini sekaligus mencetus minat dalam aktiviti permotoran,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan peserta Konvoi Kelab 4x4 Demak Laut ke Teluk Melano di sini, semalam. 

Seramai 20 orang belia bersama 7 buah kenderaan 4x4 telah terlibat dalam Konvoi Kelab 4x4 Demak Laut ke Teluk Melano meskipun hujan lebat dan ianya sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk sampai ke destinasi. 

Turut serta Dr Haji Hazland dan isteri yang bersama peserta konvoi dalam memberi sokongan dan peransang kepada peserta Kelab 4x4 Demak Laut.

Dr Haji Hazland yang juga Penaung Kelab 4x4 Demak Laut menyifatkan penganjuran program konvoi ini sebagai suatu yang amat baik untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan belia-belia di DUN Demak Laut. 

“Selain mengembara, peserta konvoi juga dapat meluaskan pengalaman dan pemandangan serta mengukuhkan perpaduan di kalangan mereka. 

“Ini sekaligus dapat membentuk jati diri dan semangat kerjasama dalam usaha memperkuatkan lagi belia-belia di kawasan DUN Demak Laut,” ujarnya. 

Sementara itu, bagi Presiden Kelab 4x4 Demak Laut Hassan Eli beliau berterima kasih kepada Dr Haji Hazland kerana bersetuju menjadi penaung kelab dan seterusnya merealisasikan cadangan belia di DUN Demak Laut untuk mewujudkan kelab permotoran. 

“Kepada belia yang mempunyai kenderaan 4x4 di kawasan DUN Demak Laut dan berminat menyertai Kelab 4x4 Demak Laut ini amatlah dialu-alukan. 

“Mereka yang berminat boleh menghubungi saya di talian 010-9779667. 

“Ini merupakan permulaan bagi aktiviti Kelab 4x4 Demak Laut yang baru sahaja ditubuhkan dan ianya akan diperbanyakkan lagi program dan aktiviti riadah pada tahun depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top