Music

Header Ads

Sunday, July 29, 2018

Kerajaan Negeri Sarawak Akan Buka Penempatan Semula Tangani Kenaikan Harga Rumah


BINTULU - Kerajaan Sarawak akan membuka kawasan baharu untuk penempatan semula penduduk Bintulu bagi menampung keperluan mendesak memiliki rumah sekali gus mengawal dan menangani harga rumah yang terlampau tinggi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan kawasan baharu itu akan merangkumi pembinaan rumah untuk semua kaum terutama yang berpendapatan rendah.

Katanya, kawasan yang dikenal pasti adalah di Jepak dan pelannya akan turut merangkumi pembinaan jambatan baharu bernilai lebih RM300 juta dengan tender akan dibuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada penghujung tahun ini.

“Tahun depan kita akan memulakan pembinaan jambatan kedua Kemena yang akan menghubung Jepak dan pusat bandar Bintulu.

“Dengan itu, kita akan membangunkan seberang Jepak sebagai sebahagian pusat pembangunan Bintulu,” ujarnya menjawab soalan Temenggung Rosli Kamaruddin pada sesi Bintulu Townhall dan Pameran Pembangunan sempena Ulang Tahun Ke-40 Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Dewan Suarah di sini, semalam.

Sesi itu dikendalikan oleh Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi sebagai moderator.

Turut hadir Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Utiliti merangkap ADUN Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon dan Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat.

Selaras itu, Abang Johari berkata, kerajaan akan membuka kawasan penempatan untuk anak tempatan membangunkan rumah dan harganya pula diharap tidak terlalu mahal memandangkan premium tanah telah diturunkan sebanyak 50 peratus di seluruh Sarawak.

Katanya, sesiapa yang telah membayar melebihi premium, pembayaran balik akan dibuat misalnya jika premium RM5,000, pemiliknya hanya perlu membayar RM2,500 dalam tempoh 10 tahun iaitu RM250 setahun

“Ini satu daripada pendekatan kita menurunkan harga rumah khusus untuk kawasan penempatan semula penduduk terutama golongan berpendapatan rendah dan ia bukan untuk semua golongan,” katanya sambil menambah, kos perkhidmatan lain membabitkan jalan raya, sistem perparitan pula akan ditanggung kerajaan.

Beliau berkata, pembeli rumah hanya menanggung kos untuk membeli rumah sahaja dan aset itu akan membabitkan rumah serta tanah termasuk infrastruktur.

“Memang ada persaingan dengan pemaju tetapi sasaran mereka lain dan sasaran kerajaan pula hanya untuk membantu golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Ketua Menteri berkata, apabila jambatan ke Jepak siap, ia akan memendekkan jarak perjalanan, justeru mereka yang tinggal di Mukah bekerja di Bintulu dapat berulang-alik menggunakan jalan tersebut.

“Sekali gus permintaan untuk mendapatkan rumah di Bintulu tidak meningkat dan akan membantu mengawal atau mengurangkan harga rumah di sini,” tambahnya.

Menjawab soalan masalah air di Tatau, Abang Johari berkata masalah itu akan diselesai menggunakan peruntukan negeri ini di bawah pelan pembangunan Kementerian Utiliti yang diterajui Dr Rundi.

Beliau turut menjawab persoalan mengenai pelan induk pembangunan jangka panjang Bintulu bagi menambah dan menaik taraf kemudahan pusat sukan dan rekreasi, tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), pindaan Kanun Tanah Negeri serta pengiktirafan kerajaan terhadap Pulau Galau dan Pemakai Menoa.

Berhubung tapak tanah Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohamad (OKMS) yang dicadang agar dijadikan sebagai tanah wakaf, Abang Johari berkata, kerajaan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat dan akan memaklumkan perkembangannya kemudian.

Soalan-soalan lain yang turut dijawab Ketua Menteri ialah mengenai royalti minyak dan gas yang penting untuk membantu pembangunan Sarawak dan pengwujudan sekolah asrama penuh yang akan diberi perhatian dan akan dibincangkan dengan Yayasan Sarawak dan Petronas. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top