Music

Header Ads

Monday, January 14, 2019

Abang Jo Kapten 'Team' Adenan, Terus Memperjuangkan Hak Sarawak


Tidak terlintas di fikiran Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri Sarawak, tetapi pelantikannya yang dipilih hasil daripada perbincangan di peringkat kabinet Sarawak bagi menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Ke 6 diterimanya dengan penuh amanah dan tanggungjawab. 

Abang Zohari atau lebih mesra dipanggil Abang Jo mempunyai pengalaman luas dalam politik dan seorang pemimpin yang amat disegani rakyat dan pemimpin-pemimpin lain. Beliau mula berkecimpung dalam bidang politik seawal tahun 1977 dan menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok selama 9 penggal serta pernah menjawat pelbagai jawatan menteri di peringkat negeri. 

Dua tahun menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, pelbagai inisiatif dan usaha yang telah dan sedang dilaksanaka Abang Jo dalam membangun dan memajukan Sarawak menerusi cara dan kaedah tersendiri. Ekonomi Digital, pembangunan luar bandar, menubuhkan Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah di antara dasar dan usaha Abang Jo untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap gaya pentadbirannya.

Sepanjang tempoh itu, Abang Jo tidak pernah lupa atau meminggirkan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar malah terus memperhebatkannya sejajar dengan aspirasi Allahyarham Tok Nan. Untuk itu, keputusan Abang Jo meneruskan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) disambut baik ramai pihak kerana mencapai objektifnya dalam mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar telah diteruskan sehingga tahun 2020. Begitu juga dengan beberapa program lain yang semestinya untuk rakyat Sarawak sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Abang Jo juga menekankan aspek keperluan penduduk khususnya melibatkan perkara asas seperti bekalan air bersih. Perkara ini telah lama berlaku dan Abang Jo menerusi tindakan dan inisiatifnya mahu permasalahan ini segera diselesaikan. Untuk itu, Abang Jo telah memberikan perhatian yang sewajarnya dalam penyelesaian masalah bekalan air bersih ini di beberapa kawasan luar bandar dengan memperuntukan bajet yang besar. Beliau turut mengadakan lawatan ke kawasan yang terlibat bagi mengetahui sendiri mengenai permasalahan air yang merungsingkan rakyat di luar bandar.

Sejak daripada keterlibatannya dalam politik di Sarawak pada 1977, Abang Jo yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok pada 1981 amat senang dan mudah didekati serta mesra rakyat. Justeru, tidak hairanlah beliau mampu bertahan dan menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Satok selama 9 penggal sehingga hari ini.

Jika Allahyarham Tok Nan terkenal dengan kelantangannya dalam mempertahankan Sarawak, Abang Jo pula lebih dikenali sebagai pemimpin yang mempunyai intergiti. Selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak, perkara pertama yang dilakukan Abang Jo ialah mengetuai ahli-ahli kabinet dan menteri muda melafaz serta menandatangani ikrar integriti. Malah, dalam memperkasakan integriti di kalangan pemimpin dan rakyat Sarawak, beliau telah mewujudkan satu poftfolio baru iaitu Menteri Integriti dan Ombudsman yang diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri. 

Sempena ulang tahun kedua Abang Jo sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari ini, saya percaya dan yakin segala usaha dan perancangannya untuk terus memajukan negeri Sarawak tercinta ini tidak akan luntur biarpun menerima cabaran dan halangan daripada pihak pembangkang yang mengintai pemerintahan negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Seperti yang sering dikatakan Abang Jo selepas mengambilalih jawatan Ketua Menteri Sarawak, beliau akan terus bekerja biarpun kabinet yang sedia ada ini adalah 'team' Adenan. 'Team' Adenan akan terus bekerja untuk Sarawak cuma tukar kapten sahaja. Dan, semestinya kapten akan berperanan untuk memacu dan membawa 'team' ini untuk bekerja dan berusaha membawa Sarawak ke arah negeri yang lebih baik dan maju. 

Rakyat perlu terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kepimpinan Abang Jo dengan menyokong perancangan yang telah diatur demi untuk rakyat dan negeri Sarawak. Setiap pemimpin mempunyai caranya yang tersendiri untuk mentadbir dan memerintah negeri ini. Justeru, saya yakin dengan setiap pendekatan yang dilakukan Abang Jo ini pastinya semua ini dibuat untuk melihat anak-anak Sarawak berjaya dan negeri Sarawak maju menjelang 2030.

Selain pembangunan, Abang Jo dilihat sangat prihatin kepada penyampaian perkhidmatan khususnya berkaitan modal insan dan perkhidmatan awam negeri. Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Yayasan Sarawak telah membuka banyak peluang dan ruang kepada anak-anak Sarawak untuk mendapatkan biasiswa bagi membiayai pengajian di peringkat tertinggi dalam bidang-bidang kritikal dan kebolehpasaran kerja khususnya yang diperlukan di Sarawak.

Sejak pengambilalihan pentadbiran, Abang Jo telah membuat transformasi kepada penyampaian perkhidmatan negeri sejajar dengan peredaran masa yang kini telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain menekankan kepada pendidikan, setiap di kalangan penjawat awam harus mempunyai kemahiran yang cekap untuk membolehkan setiap kerja yang dijalankan itu mempunyai hasil yang dikagumi.

Dalam usaha mendapat dan mempertahankan hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963, marilah kita sama-sama berada di belakang Ketua Menteri dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Biarpun nampak 'sukar' untuk perkara ini direalisasikan dalam masa yang singkat disebabkan perbezaan idealogi pemerintahan, ini tidak menghalang Abang Jo dan pemimpin-pemimpin Sarawak terus mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sarawak. 

Mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berkerajaan sendiri selepas perubahan politik di peringkat nasional tidak pernah terlintas sebelum ini. Ini mungkin suatu pengalaman baru yang bebannya telah dipikul Abang Jo dan pemimpin-pemimpin negeri yang lain. Bagaimanapun, saya percaya atas semangat permaufakatan setiap komponen parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) di bawah satu logo dan nama GPS yang mengutamakan Sarawak, kita akan terus mempertahankan Sarawak. 

Sekian.

Dr Hazland Abang Hipni
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Merangkap

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top