KUCHING: Tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang memaksa rakyat mengisi borang keahlian dengan mengumpan jualan murah dalam Program Peduli Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut disifatkan sebagai taktik terdesak untuk mencantikan statistik keahlian AMANAH.
Baru-baru ini, AMANAH telah mengadakan Program Peduli Rakyat di Taman Mesra Bako dan Kampung Tabuan Hilir dalam usaha menambah keahliannya dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Ketua Wanita Ranting PBB Bako Mesra Salina binti Othman berkata perbuatan parti AMANAH itu amat bertentangan dengan kehendak rakyat yang dilihat memaksa rakyat mengisi borang keahlian sebelum dibenarkan membeli barangan keperluan dengan harga murah.
"Program di atas boleh dikatakan sebagai umpan untuk mendapatkan 'ahli' secara paksa. Mana tidaknya, setiap orang yang mahu membeli barangan keperluan tersebut pada harga murah perlu mendaftar terlebih dahulu.
"Barangan keperluan seperti gula, tepung, garam, minyak masak dan sebagainya yang dijual pada harga serendah RM5 untuk tiga jenis barangan.
"Untuk membelinya, rakyat perlu mengisi borang keahlian AMANAH terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk membeli barangan keperluan dengan harga yang ditawarkan," katanya yang mempersoalkan kreadibiliti parti politik itu yang menggunakan pendekatan 'paksaan' untuk mendapatkan keahlian di DUN Demak Laut.
Jelaslah bahawa parti AMANAH kini dalam keadaan terdesak untuk menambah dan mencantikkan statistik keahlian yang sedia ada.
Sementara itu, Ketua Ranting PBB Tabuan Hilir Jerni bin Ossen menyifatkan perbuatan parti AMANAH itu sebagai strategi jahat.
"Apabila mengetahui tiada sambutan terhadap parti dari Semenanjung itu, AMANAH beralih kepada pendekatan mendesak bagi membuktikan kononnya mereka diterima rakyat di DUN Demak Laut khususnya di Kampung Tabuan.
"Melihat kepada sikap parti AMANAH ini, ramai rakyat khususnya yang tinggal di Kampung Tabuan tidak mudah terjerat kepada mainan politik memaksa yang digunapakai AMANAH ketika ini.
"Perbuatan AMANAH ini telah menguatkan lagi penolakan rakyat di Kampung Tabuan ini terhadap parti AMANAH," ujarnya.
Bagi Ketua Penerangan PBB DUN Demak Laut Amzah bin Dollah, sehingga kini keahlian PBB di DUN Demak Laut kini berjumlah 10,619 dan bertambah dari semasa ke semasa.
"Ketika ini PBB DUN Demak Laut aktif dalam mengadakan kempen pendaftaran ahli PBB baru di setiap ranting dan kampung.
"Setakat ini, lebih 2,000 borang sudah diedarkan dan jumlah ini dijangka meningkat disebabkan penjenamaan semula Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diluluskan pendaftarannya," katanya.
Ditanya mengenai parti AMANAH, Amzah berkata rakyat di DUN Demak Laut setia bersama PBB dan kini GPS dalam menentukan hala tuju negeri ini pada masa akan datang.
"Selepas penubuhan GPS, kita telah melihat kesungguhan Ketua Menteri Sarawak dan para pemimpin tempatan yang terdiri daripada komponen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
"Tidak seperti parti AMANAH yang merupakan parti luar dari Malaya yang bukan sahaja tidak memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak, tetapi mahu mengambil hak dan kekayaan negeri Sarawak untuk diberikan kepada 'bos' mereka di Semenanjung.
"Adalah tidak mustahil suatu hari nanti jika parti AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) berkuasa di Sarawak, segala hak kita dihapuskan dan segala kekayaan kita akan hilang begitu sahaja," tambahnya.
Selain DUN Demak Laut, parti AMANAH turut mengadakan program yang sama di DUN Samariang.
Dalam pada itu, difahamkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga turut berminat dan mengintai untuk bertanding di DUN Demak Laut pada PRN Sarawak akan datang.
Ini membuatkan parti AMANAH berusaha untuk mendapatkan seberapa ramai keahlian bagi menyakinkan Pakatan Harapan bahawa mereka lebih layak berbanding PKR.
Pada PRN Sarawak 2016 lepas, calon AMANAH kalah teruk kepada penyandang dari PBB Dr Hazland bin Abang Hipni dan hilang wang deposit.
No comments:
Post a Comment