Music

Header Ads

Wednesday, January 23, 2019

Naik Taraf Sistem Perparitan Diharap Dapat Selesaikan Masalah Banjir Di Kampung Tabuan


KUCHING: Penduduk Kampung Tabuan menerima perkhabaran menggembirakan apabila Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut bernilai RM2.4 juta mula dibina tahun ini dan dijangka dapat menyelesaikan masalah  banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata pemberian ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah lupa akan jasa penduduk Kampung Tabuan yang selama ini menyatakan sokongan terhadap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam setiap pilihan raya sebelum ini.

"Sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukan kepada penduduk Kampung Tabuan dalam pelaksanaan projek RTP DUN Demak Laut.

"Daripada jumlah ini, RM860,000 diperuntukan kepada membina perparitan Kampung Tabuan Melayu dan RM500,000 membina sistem perparitan Kampung Tabuan Fasa 1. Kedua-dua projek ini menggunakan peruntukan RTP DUN Demak Laut 2017.

"Sementara itu, Kampung Tabuan Hilir, Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Lot masing-masing diperuntukan bagi membina sistem perparitan Fasa 2. Ketiga-tiga projek ini menggunakan peruntukan RTP DUN Demak Laut 2018. 

"Ini adalah projek pemberian Kerajaan Negeri Sarawak kepada penduduk dan pengundi setia PBB di Kampung Tabuan. Projek ini akan mengambil masa kira-kira 4 bulan untuk disiapkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pecah Tanah Projek RTP DUN Demak Laut di Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan Hilir, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Hj Helmi bin Osman, Pegawai Daerah Bahagian Kuching Hj Awang Yusuf bin Awang Mustafa, Pemanca Hj Rosli bin Sahari dan Pengerusi Pengelola yang juga Penghulu Kampung Tabuan Hj Jas bin Said.


Menyentuh mengenai projek RTP membina sistem perparitan di Kampung Tabuan, Dr Hazland berharap siapnya projek ini nanti akan dapat menyelesaikan masalah banjir.

"Kita tidak mahu berlakunya masalah seperti situasi banjir yang sering mengakibatkan kerosakan harta benda, penyakit bawaan binatang dan sebagainya.

"Dengan siapnya sistem perparitan ini nanti akan menyebabkan kampung kita bersih dan tersusun," tambahnya. 

Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak di kawasan DUN Demak Laut seperti di kawasan Muara Tabuan walaupun kawasan itu tidak pernah memihak kepada PBB setiap kali pilihan raya.

"Walaupun kita (PBB) tidak pernah menang di kawasan Muara Tabuan disebabkan geopolitik, kita tetap memberikan projek berdasarkan keperluan penduduk di situ," ujarnya.

Kesemua projek diletakkan di bawah pengawasan MBKS dan mesti siap dalam tahun ini.

Dr Hazland juga turut meminta penduduk mencadang dan menyenaraikan keperluan projek untuk dilaksanakan di kawasan masing-masing kepada ketua masyarakat seperti penghulu dan ketua kaum.

"Kita masih membuka dan menerima projek-projek daripada penduduk kampung untuk dimasukkan di dalam RTP 2019.

"Sehubungan itu, permohonan tersebut perlu disertakan dengan surat dan gambar. Ini bagi memastikan keperluan dan jumlah projek pembangunan dapat kita perincikan," ujarnya. 

Terdahulu, Dr Hazland mengumumkan telah memohon jawatan kaunselor dari Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak untuk kawasan Kampung Tabuan.

"Saya memberitahu Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak bahawa Kampung Tabuan Melayu dan Kampung Tabuan Drahman mempunyai kawasan yang luas. Sehubungan itu, saya telah memohon satu lagi jawatan kaunselor di bawah MBKS.

"Ini sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan kepada penduduk yang telah menyumbang kepada kemenangan besar Kerajaan GPS dan PBB dalam setiap pilihan raya. 

"Di sinilah (Kampung Tabuan) sokongan yang begitu kuat yang ditunjukkan rakyat dalam pilihan raya terdahulu bukan sahaja kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dan Parlimen Santubong, tetapi juga kepada kepimpinan negeri pada hari ini di Sarawak," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top