Music

Header Ads

Friday, March 27, 2020

30 Golongan Asnaf Di Kampung Muara Tebas Terima Sumbangan Daripada Dr Hazland


KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas telah menyebabkan orang ramai diminta untuk menghadkan pergerakan khususnya di luar rumah dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19. 

Keadaan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan golongan asnaf dan menyedari situasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni telah menyampaikan sumbangan keperluan makanan dan minuman kepada 30 golongan asnaf yang tersenarai di dalam e-Kasih di Kampung Muara Tebas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 

“Saya menyedari bahawa PKP ini telah menyebabkan kesukaran masyarakat khususnya golongan asnaf mendapatkan bekalan makanan dan minuman serta keperluan lain.

“Bagaimanapun penguatkuasaan PKP ini perlu bagi memastikan penularan wabak COVID-19 di Malaysia dapat dibendung dan diputuskan rantaiannya sekaligus membolehkan keadaan akan kembali sedia kala. 

“Untuk itu, bagi meringankan beban golongan asnaf, sumbangan makanan dan minuman ini dapat membantu meringankan beban mereka ketika PKP ini,” katanya kepada media selepas Penyerahan Sumbangan Makanan dan Minuman Kepada Golongan Asnaf di DUN Demak Laut pada Khamis. 

Sumbangan kepada golongan asnaf ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka yang memerlukan bantuan ini dapat dibantu. 


Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lanjutan PKP sehingga 14 April 2020, Dr Hazland menjelaskan keputusan ini dilihat perlu memandangkan kes jangkitan COVID-19 positif di seluruh Malaysia belum menampakkan penurunan.

“Keputusan Kerajaan melanjutkan PKP ini sehingga 14 April 2020 adalah keputusan betul selepas melihat trend peningkatan jangkitan COVID-19 di Malaysia meningkat.

“Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak bahawa tempoh itu akan dilihat dari semasa ke semasa berdasarkan kepada situasi COVID-19 di Malaysia.

“Dalam pada itu, orang ramai terus diminta mematuhi arahan Kerajaan untuk terus kekal di rumah, amalkan kebersihan dan jaga jarak sosial anda untuk mencegah penularan COVID-19,” jelasnya. 

Sumbangan ini telah diserahkan staf dan kakitangan Pusat Khidmat N5 Demak Laut bersama Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Muara Tebas Dabib Pani dan Ketua Wanita PBB Ranting PBB Muara Tebas Masalia Suhai.

No comments:

Post a Comment

Back To Top