Music

Header Ads

Wednesday, March 25, 2020

Lagi Sumbangan Dr Hazland Kepada ‘Barisan Hadapan’ Di DUN Demak Laut


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyerahkan sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan lain kepada tiga buah Klinik Komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 

Sumbangan ini telah diserahkan wakil Pusat Khidmat N5 Demak Laut kepada tiga buah Klinik Komuniti di Kampung Bako, Kampung Muara Tebas dan Kampung Tanjung Embang pada Selasa. 

Menurut Dr Hazland, sumbangan ini sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan yang ditunjukkan mereka yang berada di ‘Barisan Hadapan’ dalam mengharungi wabak COVID-19. 

“Kita sedia maklum bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, pergerakan kita terhad dan waktu operasi bagi beberapa kedai runcit, supermarket, hypermarket dan sebagainya terhad. 

“Menyedari kekangan ini, Pusat Khidmat N5 Demak Laut memberikan sumbangan ini sebagai meringankan beban jururawat dan pembantu perubatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya semasa dihubungi pada Rabu. 


Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat khususnya mereka yang berada di kawasan DUN Demak Laut untuk mematuhi arahan pihak berkuasa di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Patuhilah dan ikutilah setiap arahan pihak berkuasa dan kerajaan di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Setiap arahan ini adalah untuk mengekang sekaligus memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya. 

Bermula Selasa, orang ramai dikehendaki untuk tidak berada di luar rumah bermula jam 7.00 malam hingga jam 7.00 pagi seperti mana yang diumumkan kerajaan semalam. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top