Music

Header Ads

Friday, June 19, 2020

Dr Hazland Sertai Mesyuarat JPBB Samarahan dan Pesisir Kuching Menerusi Persidangan Video


KUCHING: Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), norma kehidupan yang berbeza perlu diadaptasi dan dilakukan bagi memastikan agenda harian terus dilaksanakan. 

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, beliau telah menjadikan persidangan video sebagai norma baharu ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan dan Pesisir Kuching. 

“Walaupun berada di rumah, saya tetap menghadiri Mesyuarat JPBB Samarahan dan Kuching Pesisir bag membantu Pengerusi JPBB Samarahan merangkap Residen Bahagian Samarahan Haji Ibrahim Lumpu dalam hal-hal berkaitan operasi dan tindakan bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

“Mesyuarat berjalan lancar dengan membincangkan mengenai Laporan Situasi Semasa Wabak COVID-19 di Samarahan, Program Kawalan Risiko Peringkat Bahagian dan Daerah, Laporan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Penutupan Pusat Kuarantin di INFRA dan INTAN,” katanya ketika mengulas mengenai Mesyuarat JPBB Samarahan dan Pesisir Kuching yang diadakan pada Khamis. 


Dr Hazland merupakan wakil rakyat yang ditugaskan membantu Pengerusi JPBB Samarahan dalam operasi membanteras penularan wabak COVID-19 di kawasan Samarahan, Kuching Pesisir dan Lundu. 

Mengenai keadaan semasa COVID-19 di kawasan Samarahan, Kuching Pesisir dan Lundu, Dr Hazland memberitahu Samarahan masih berada dalam Zon Hijau manakala Kuching berada di Zon Kuning dengan terbaru 4 kes positif direkodkan pekerja warga asing. 

Bagaimanapun, setiap jabatan dan agensi memainkan peranan masing-masing seperti yang diarahkan khususnya dalam tempoh PKPP ini. 

“Ketika PKPP ini, walaupun banyak sektor telah dibuka, tetapi kami ingin memastikan setiap masyarakat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

“Untuk itu, setiap jabatan dan agensi kerajaan sentiasa turun padang memastikan masyarakat mematuhi SOP ini sebagai langkah pencegahan kendiri.

“Harus diingat bahawa wabak COVID-19 ini tidak nampak dan sangat berbahaya jika kita tidak mengambil langkah-langkah pencegahan. Sebab itulah, kerajaan menyediakan garis panduan bagi membolehkan masyarakat sentiasa berjaga dan berwaspada,” ujarnya. 


Turut serta dalam mesyuarat tersebut Residen Bahagian Samarahan Hj Ibrahim Lumpu, Pegawai Daerah Samarahan, Pegawai Daerah Asajaya, Pegawai Daerah Simunjan dan beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Samarahan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top