Music

Header Ads

Sunday, June 21, 2020

Kerajaan Sarawak Prihatin, 3 Buah Keluarga Terima Bantuan PPRMS Di DUN Demak Laut


KUCHING: Tiga buah keluarga, dua di Kampung Tabuan Tengah dan sebuah di Kampung Pinggan Jaya boleh menarik nafas lega apabila rumah mereka akan mula dibina baharu dan dibaiki untuk lebih baik dalam masa terdekat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu masyarakat yang ditimpa bencana dan musibah. 

“Dua buah rumah tersebut terletak di Kampung Tabuan Tengah yang terbakar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas. Kejadian itu telah menyebabkan mereka hilang tempat tinggal. 

“Kerajaan Sarawak menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) membantu rakyat yang hilang tempat tinggal dan baik pulih rumah yang tidak selamat supaya lebih selesa. 

“Alhamdulillah, bahan-bahan yang dibeli telah sampai dan tukang rumah juga telah memulakan pembinaan,” katanya diminta mengulas mengenai pelaksanaan PPRMS 3 buah rumah di Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Pinggan Jaya menerusi hantaran di dalam facebook Hazland Hipni pada Sabtu. 


Menurut Dr Hazland lagi, kedua-dua buah keluarga ini akan disenaraikan bagi rumah di Projek Perumahan Baru di Muara Tabuan tidak lama lagi. 

Dalam pada itu, sebuah lagi keluarga di Kampung Pinggan Jaya turut menerima bantuan PPRMS bagi baik pulih rumah. 


“Rumah di Kampung Pinggan Jaya ini perlu dibaiki segera supaya lebih selamat dan selesa untuk didiami seisi keluarga. 

“Sebelum itu, rumah tersebut mengalami beberapa kerosakan dan bahaya kepada ahli keluarga terutamanya kanak-kanak. 

“Mudah-mudahan siapnya rumah ini nanti, kehidupan ahli keluarga akan berubah bukan sahaja selamat dan selesa, tetapi juga melahirkan insan yang berkualiti di dunia dan akhirat,” ujarnya. 

Beliau turut berpuas hati kerja-kerja membina dan baik pulih rumah ini akan dimulakan dalam masa terdekat selepas ditangguhkan disebabkan PKP baru-baru ini. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top