Music

Header Ads

Wednesday, July 15, 2020

ADUN Demak Laut Hargai Peranan Wanita Di Dalam Konstituensinya



KUCHING: Peranan wanita pada hari ini sangat penting yang juga sebagai penentu kepada sesuatu keputusan khususnya dalam konteks politik. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini terbukti apabila dalam setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut golongan wanita mendominasi jumlah pengundi dan juga merupakan pengundi paling mempengaruhi. 

“Pada beberapa pilihan raya sebelum ini, kawasan DUN Demak Laut telah berada dalam kelompok 5 kawasan DUN yang mencatat sokongan tertinggi terhadap calon PBB-GPS. 

“Kejayaan ini disumbangkan dengan kerja keras Wanita PBB di peringkat cawangan dan ranting yang bukan sahaja bergerak pada waktu kempen pilihan raya, tetapi juga sepanjang masa khususnya dalam penganjuran program dan aktiviti kemasyarakatan yang bukan masa pilihan raya. 

“Jasa dan pengorbanan mereka sangat saya hargai dan sentiasa diingati biarpun kini telah dua penggal sebagai ADUN Demak Laut,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita PBB Demak Laut di sini pada Ahad lepas.

 
Pada mesyuarat itu, beliau yang juga Ketua Cawangan PBB DUN Demak Laut meminta Wanita PBB di peringkat cawangan dan ranting untuk memperkemaskan jentera dengan kemahiran di dalam media sosial dan bersemuka. 

“Saya mempunyai platform media sosial yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat di peringkat kampung untuk mengetahui aktiviti, isu-isu masa setempat dan pergerakan saya sebagai wakil rakyat di DUN Demak Laut. 

“Selain media sosial, saya juga turun padang dan bersemuka dengan masyarakat kampung yang merupakan pengundi DUN Demak Laut bagi memperjelaskan inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangunan di peringkat kawasan,” ujarnya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top