Music

Header Ads

Sunday, July 5, 2020

Dr Hazland Iktiraf Peranan Dan Hargai Sumbangan Wanita Di Kawasan DUN Demak Laut


KUCHING: Tidak dapat dinafikan peranan wanita pada hari ini sangat penting sama ada dalam kepimpinan atau pengurusan sesebuah organisasi di peringkat kampung. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, hal ini dapat dilihat dalam trend hari ini di mana wanita turut berperanan terlibat dalam membuat keputusan seperti di organisasi yang besar, dan peringkat kampung termasuklah sebagai pengundi. 

“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mahu melihat golongan wanita turut sama terlibat dalam pembuat keputusan dengan mengambil kira kepentingan wanita turut diutamakan. 

“Sebagai pembuat keputusan, pelbagai aspek perlu diberikan perhatian termasuk kepentingan wanita secara keseluruhannya dan pembangunan setempat yang menjadi faktor utama. 

“Atas sebab itu, pelantikan beberapa pemimpin wanita di peringkat kampung di DUN Demak Laut adalah sebagai pengiktirafan kepada golongan wanita yang turut sama memberikan sumbangan dalam pembangunan kampung,” katanya semasa menyampaikan Dana Tahunan JKKK Kampung Tabuan Lot baru-baru ini. 


Dalam pada itu, Dr Hazland menyifatkan Ketua Kaum Rokiah Temben merupakan seorang yang cekal dan berwibawa apabila berjaya menguruskan hal-hal berkaitan kampung walaupun beliau seorang wanita. 

“Mungkin ramai yang belum mengetahui bahawa Ketua Kaum Rokiah Temben merupakan satu-satunya wanita di kawasan DUN Demak Laut yang  berjaya menguruskan sebuah kampung yang mempunyai 424 buah rumah dengan mempunyai 2,133 orang penduduk. 

“Mempunyai banyak pengalaman dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) di Kampung Tabuan Lot membuatkan beliau disegani dan dihormati penduduk kampung. 

“Selain itu, beliau turut mempunyai barisan Ahli Jawatankuasa JKKK Kampung Tabuan Lot yang berkebolehan dan bekerja dalam satu kumpulan bagi memastikan setiap hal ehwal kampung dijaga,” ujarnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Kaum Rokiah Temben melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Hazland di atas pemberian sumbangan Bantuan Dana Tahunan JKKK Kampung Tabuan Lot ini.


“Terima kasih kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di atas pemberian sumbangan Bantuan Dana Tahunan JKKK Kampung Tabuan Lot ini.

“Pastinya, sumbangan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya bagi keperluan penduduk kampung seperti yang disarankan Dr Hazland,” katanya. 

Hadir sama Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK Kampung Tabuan Lot dan beberapa Ahli PBB Ranting Tabuan Lot. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top