Music

Header Ads

Monday, July 6, 2020

PPRMS Berjaya Mengubah Kehidupan Rakyat Menjadi Lebih Baik Dan Selesa

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat komited dalam membantu rakyat di negeri ini khususnya golongan susah bagi menerima bantuan baik pulih rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, PPRMS adalah salah satu projek Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diperkenalkan bagi meneruskan kesinambungan projek Persekutuan selepas Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) telah memberhentikan bantuan ini. 
“Projek ini telah memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar layak menerima baik pulih rumah supaya lebih selesa daripada sebelumnya seperti yang diterima penerima Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Bako Hulu ini,” katanya semasa diminta mengulas mengenai mereka yang menerima bantuan PPRMS di Kampung Bako Hulu baru-baru ini. 
Salah seorang penerima bantuan, Ibrahim bin Abdullah ketika ditemui melahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland di atas bantuan yang diberikan dalam baik pulih rumah ini.
“Sebelum ini rumah saya banyak mengalami kerosakan dan tidak selamat. Rosak di dapur, atap bocor, dinding berlubang, tandas dan bilik mandi tidak elok dan sebagainya. Bagaimanapun, selepas semuanya dibaik pulih oleh kontraktor, kini rumah saya selamat dan selesa,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan PPRMS, Let bin Usup turut mengakui bantuan baik pulih rumahnya ini telah mengubah kehidupan mereka sekeluarga daripada serba kekurangan, kini lebih selesa. 
“Kini, kami sekeluarga tidak perlu memikirkan cara untuk membaik pulih rumah kerana bantuan baik pulih rumah PPRMS telah berjaya mengubah kehidupan kami untuk lebih selesa,” katanya. 
Kedua-dua rumah penerima baik pulih rumah PPRMS ini telah pun siap pada Oktober 2019 dan kini mereka telah menjalani kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top