Music

Header Ads

Wednesday, November 11, 2020

JPBN Sarawak Gariskan 5 Strategi Dalam Menangani Wabak COVID-19 Dan Virus-Virus Lain


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah menggariskan lima langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan Sarawak dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang sedang menular sekarang. 


Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata lima langkah strategik ini digariskan selepas menimba pengalaman dalam mengendalikan COVID-19 dan Rabies dan belajar daripada pengalaman dan pengurusan beberapa negara yang telah berjaya memutuskan rantaian COVID-19 dengan berkesan seperti Korea Selatan, New Zealand dan China. 



“Antara strategi yang telah dirangka oleh JPBNS adalah: 

a. Meningkatkan keupayaan dan kapasiti Jabatan Kesihatan Sarawak (JKNS) untuk menjalankan ujian, menyediakan peralatan makmal dan keupayaan penguatkuasaan.

b. Mengwujudkan Pasukan Special Contact Tracing Squad untuk membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri membuat contact tracing bagi kes-kes positif COVID-19

c. Kawalan ketat sepanjang sempadan untuk mengekang kemasukan pembawa penyakit termasuk haiwan.

d. Memperketatkan Garis Panduan kemasukan ke Sarawak melalui aplikasi online EnterSarawak dan E-Health Declaration Form, dan menyediakan pusat-pusat kuarantin. 

e. Memperhebatkan perkongsian maklumat dan kesedaran mengenai bahayanya COVID-19 melalui pelbagai saluran media seperti media cetak, media elektronik, media sosial, dan ceramah- ceramah di peringkat akar umbi.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni pada hari kedua Persidangan DUN Sarawak pada Selasa. 


Dalam pada soalan tambahan Dr Hazland, Datuk Amar Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menjelaskan Kerajaan Sarawak bersetuju menaik taraf kemudahan hospital-hospital lain seperti Hospital Umum Sarawak, Hospital Bintulu dan Hospital Miri di Sarawak supaya mempunyai kemudahan untuk merawat pesakit COVID-19.



“Selain daripada hospital yang disebutkan oleh Yang Berhormat, Kerajaan Sarawak juga mencadang untuk menaiktaraf kemudahan di Hospital di Bau, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang bagi menyediakan kemudahan untuk merawat pesakit COVID-19. 


Cadangan ini telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan Kerajaan Pusat,” tambahnya. 


Mengenai cadangan untuk menambah kapasiti makmal bagi menjalankan ujian rT- PCR untuk COVID-19 di Sarawak, Datuk Amar Douglas menjelaskan ianya telah dibina di Hospital Umum Sarawak dan ia dikembangkan ke Hospital Sibu, Hospital Bintulu, Hospital Miri dan Pusat Jantung Sarawak.



“Untuk kapasiti ujian rT- PCR untuk COVID-19, Hospital Umum Sarawak 1,000 ujian sehari, Pusat Jantung Negeri Sarawak 500 ujian sehari, Hospital Sibu 300 ujian sehari, Hospital Bintulu 200 ujian sehari dan Hospital Miri 400 ujian sehari. 


“Dengan bantuan dana peruntukan oleh Kerajaan Negeri, pembinaan sebuah Makmal Molekular Perubatan baharu di Hospital Limbang juga sedang diusahakan dengan kapasiti 200 ujuan sehari. 


Bagi fasiliti perubatan swasta pula, Makmal Perubatan yang dapat menjalankan ujian Covid-19 yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah Makmal Perubatan, Borneo Medical Centre (BMC),” katanya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top