Music

Header Ads

Tuesday, December 1, 2020

Jaga Dan Pelihara Tanah Perkuburan Islam Sebagai Suatu Ibadah


DEMAK LAUT, Kuching: Walaupun telah berusia lebih 400 tahun, Tanah Perkuburan Islam Jernang masih lagi dipelihara kawasannya bagi membolehkan waris keluarga menziarahi kubur ahli keluarga dan sanak saudara. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, Tanah Perkuburan Islam Jernang itu digunakan penduduk di Kampung Senari, Kampung Goebilt, Kampung Tiang Api dan Kampung Beradek. 


“Memelihara tanah perkuburan itu merupakan suatu ibadah yang harus dilaksanakan setiap umat Islam, apatah lagi kawasan perkuburan yang telah berusia ratusan tahun. 



“Justeru, sumbangan yang diberikan ini akan dapat digunakan untuk menjaga dan memelihara kawasan Tanah Perkuburan Islam Jernang pada masa akan datang,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Jernang baru-baru ini. 


Mengenai Tanah Perkuburan Islam di Bako, Dr Hazland memaklumkan ketika ini projek pembinaan sebuah Tanah Perkuburan Islam Berpusat Baharu di Zon Bako sedang dilaksanakan. 


“Tanah Perkuburan Islam Berpusat Baharu di Zon Bako dibina bagi menggantikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bako yang tidak lagi selamat. 


“Projek pembinaan tanah perkuburan seluas 62.3 hektar itu telah pun bermula pada September lepas yang akan menampung keperluan di 13 buah kampung di Zon Bako. 


“Pembinaan tanah perkuburan Islam baharu merupakan fasa pertama dan akan dibina dengan prasarana moden, berkonsepkan kubur dalam taman yang pertama di Sarawak,” ujarnya. 



Selain Tanah Perkuburan Islam Jernang, terdapat tiga lagi tanah perkuburan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu Tanah Perkuburan Islam Bako, Muara Tebas dan Pending. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top