Music

Header Ads

Tuesday, March 9, 2021

Kursus Pensijilan Berjaya Lahirkan Ramai Usahawan Wanita Demak Laut

 

DEMAK LAUT, Kuching: Penganjuran kursus pensijilan yang diadakan sebelum ini telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, penganjurannya yang kini memasuki tahun ke lima pada tahun ini dan setiap tahun ianya akan dipertingkatkan dengan kemahiran-kemahiran baru.


“Kursus pensijilan yang diadakan sebelum ini merangkumi makanan sejuk beku, manisan, hiasan diri dan dandanan yang terbuka kepada setiap penduduk di 28 buah kampung dalam kawasan DUN Demak Laut. 


“Setiap peserta yang mengikuti kursus pensijilan ini akan diberikan sijil yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan seperti SEDC, MARA, TEKUN, Bank Agro, Bank Rakyat dan sebagainya.


“Sebelum itu, mereka perlu mendaftarkan perusahaan mereka untuk memperoleh lesen perniagaan sekiranya berhasrat untuk meneruskan bidang usahawan ini sebagai kerjaya dan sepenuh masa,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan Sijil Kursus Kek Lapis Premium yang diadakan di Kolej Komuniti Santubong pada Sabtu.



Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada wanita Kampung Tanjong Bako mengambil bahagian dalam Kursus Kek Lapis Premium itu. 


Ujar Dr Hazland lagi, untuk menjadi seorang usahawan berjaya, seseorang itu perlu juga mempunyai pengetahuan dalam selok belok perniagaan terutama dalam pengurusan kewangan selain mempunyai kemahiran tersendiri.


“Usahawan perlu juga mengetahui aspek tadbir urus kewangan yang baik bagi memastikan perniagaan yang diusahakan itu dapat dikawal dengan sebaiknya. 


“Selain itu, usahawan perlu juga mempunyai premis atau tempat perniagaan dan akaun media sosial seperti whatapps, Facebook, Instagram dan Youtube bagi tujuan promosi dan pemasaran mengikut keadaan semasa.


“Sejak penularan wabak pandemik COVID-19 ini, ramai usahawan  termasuk usahawan wanita telah terkesan disebabkan ketiadaan permintaan selain tidak dibolehkan berniaga secara terbuka bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.



Justeru, dengan adanya beberapa aspek ini, dijangka akan  memulih dan meningkatkan sosioekonomi serta memperkasakan wanita dalam kerjaya sebagai usahawan.

No comments:

Post a Comment

Back To Top