Music

Header Ads

Tuesday, March 16, 2021

Memperkasakan Pendidikan Luar Bandar

 

DEMAK LAUT, Kuching: Memperkasakan pendidikan luar bandar adalah teras utama yang ada di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni kualiti pendidikan di setiap kawasan sama ada bandar dan luar bandar sepatutnya sama rata atau hampir sama, tanpa sebarang perbezaan ketara.


“Bagaimanapun, beberapa faktor seperti kesedaran ibu bapa, kurang perhatian terhadap pendidikan, tiada motivasi pelajar, kesukaran mengubah persepsi terhadap pendidikan, kemiskinan keluarga, sikap pelajar, kekurangan bahan bantu mengajar, kemudahan infrastruktur, keciciran pelajar dan kesukaran saluran teknologi telah menyebabkan wujudnya jurang pendidikan tersebut.


“Atas sebab itu, kerajaan telah mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk mengatasi masalah ini dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan di kawasan luar bandar,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan dana tahunan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako pada Khamis. 



Tambah Dr Hazland lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut berusaha mewujudkan suasana iklim persekolahan yang selesa sama untuk pelajar, guru dan ibu bapa. 


“Menerusi bantuan seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), makanan, perjalanan, pengangkutan, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Baucer Tuisyen, Biasiswa Kecil Persekutuan, (BKP), asrama harian dan sebagainya akan melonjakkan lagi motivasi mereka untuk bersekolah. 


“Semua ini adalah untuk kemudahan pelajar di samping meringankan beban keluarga serta memberi motivasi tinggi kepada guru untuk mendidik pelajar-pelajar di sekolah,” tambahnya. 


Pada majlis itu, Dr Hazland menyerahkan sumbangan dana tahunan sebanyak RM10,000 dan RM100,000 bagi naik taraf tiga projek di SMK Bako. 



Hadir sama Pengetua SMK Bako Yusri Tokis, Penghulu dan Ketua Kaum Zon Bako serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bako.

No comments:

Post a Comment

Back To Top