Music

Header Ads

Friday, May 28, 2021

Sokong Pelaksanaan PKP, Langkah Terbaik Putuskan Rantaian COVID-19


DEMAK LAUT, Kuching: Pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei hingga 11 Jun 2021 sebagai suatu langkah terbaik bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit COVID-19. 


Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni berkata hanya dengan pelaksanaan PKP sahaja akan membolehkan penularan COVID-19 dapat dikekang seperti yang pernah dilakukan pada Mac 2020.


“Trend peningkatan penyakit COVID-19 di setiap bahagian di Sarawak ketika ini sangat membimbangkan dan sehingga kini telah wujud 85 kluster masih aktif melibatkan komuniti, tempat kerja, majlis sosial dan sebagainya. 


“Lebih membimbangkan kadar kematian akibat kes COVID-19 berlaku setiap hari dan katil ICU di semua hospital kerajaan telah penuh. 


“Sehingga Khamis, hanya satu sahaja daerah berstatus Hijau, manakala 27 daerah berstatus Merah, tiga berstatus Jingga dan 9 berstatus Kuning,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Baik Pulih Rumah di Kampung Muihibbah Pending pada Khamis. 


Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang digunapakai sebelum ini jelas tidak memberi kesan  kepada pengurangan kes COVID-19 disebabkan sikap masyarakat yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. 


Dalam pada itu, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut percaya Kerajaan Sarawak telah menyediakan keperluan dan kemudahan kepada rakyat Sarawak yang akan terjejas akibat pelaksanaan PKP ini. 


“Saya percaya Kerajaan Sarawak telah mengkaji sedalam-dalamnya kemduahan dan bantuan yang akan diberikan kepada rakyat Sarawak sepanjang pelaksanaan PKP selama dua minggu ini.


“Sebelum ini, pada PKP tahun 2020 Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan bernilai lebih RM3 bilion menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). 


“Ini merangkumi bantuan kewangan, makanan, subsidi dan sebagainya yang dirasakan perlu bagi menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top