Music

Header Ads

Tuesday, May 25, 2021

Kes COVID-19 Meningkat, Rakyat Digesa Tingkatkan Disiplin Diri Dan Terus Patuhi SOP Diperketatkan PKPB


DEMAK LAUT, Kuching: Masyarakat di Sarawak digesa untuk terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Diperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan mulai 25 Mei hingga 7 Jun 2021. 


Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni berkata, disiplin diri itu penting bagi memastikan SOP Diperketatkan PKPB dipatuhi sekaligus dapat membendung penularan wabak pandemik COVID-19 dalam masyarakat di negeri ini. 


“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) telah mengeluarkan garis panduan SOP Diperketatkan PKPB berkuatkuasa 25 Mei hingga 7 Jun 2021. 



“Kawalan tambahan SOP Diperketatkan itu penting selepas melihat penularan wabak COVID-19 yang meningkat dan garis panduan SOP sebelum ini yang memerlukan kawalan yang lebih ketat. 


“Dalam pada itu, masyarakat Dayak yang akan menyambut perayaan Gawai pada 1 dan 2 Jun ini diharap dapat mengguhkan hasrat balik ke kampung atau rumah panjang.


“Manakala, pada perayaan itu juga masyarakat Dayak turut digesa untuk tidak melakukan aktiviti ziarah atau 'ngabang' pada Hari Gawai, sebaliknya mereka dinasihatkan untuk menyambut perayaan dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja bagi mengelak kewujudan kluster perayaan seperti yang berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya ketika diminta mengulas agihan bantuan makanan kepada keluarga yang dikenakan kuarantin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Selasa. 



Mengenai bantuan makanan yang diagihkan di kawasan DUN Demak Laut ini, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut memberitahu bantuan makanan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang tidak boleh keluar rumah dan terpaksa dikuarantin selama 14 hari. 


“Sehingga kini lebih 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan DUN Demak Laut yang menjalani kuarantin kendiri di rumah telah menerima bantuan makanan.



“Kebanyakan mereka yang dikuarantin ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dan terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah serta melakukan ujian calitan COVID-19.


“Sepanjang tempoh kuarantin, mereka tidak dibenarkan keluar rumah dan bantuan makanan ini akan membantu meringankan beban harian mereka,” ujarnya. 



Antara sumbangan bantuan makanan yang diberikan ialah Kampung Hijrah 3 KIR, Kampung Bako Lot 2 KIR, Kampung Mesra Bako 2 KIR, kampung Muara Tebas 2 KIR, Kampung Sungai Bako 1 KIR, Kampung Senari 2 KIR, Kampung Sejingkat Hilir 5 KIR, Kampung Tabuan Hj Drahman 1 KIR dan Kampung Tabuan Haji Drahman 2 KIR. 


Dr Hazland dalam pada itu merayu masyarakat untuk terus kekal positif dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 ini dengan mematuhi SOP dan memastikan kebersihan diri di tempat awam serta mendaftar diri di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top