Music

Header Ads

Saturday, May 22, 2021

Projek Pembangunan Di DUN Demak Laut Diteruskan, Patuhi SOP Sebaiknya


DEMAK LAUT, Kuching: Projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut akan diteruskan seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. 


Bagaimanapun, ianya akan dilaksanakan dengan mengikuti garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 


Perkara ini dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni ketika diminta mengulas mengenai Penyerahan Projek Naik Taraf Dewan Kampung Bako Lot pada Jumaat. 


Penyerahan projek telah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor dan disaksikan Ketua Kaum Kampung Bako Lot Bustari Yahya dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bako Lot. 



Katanya, semua projek pembangunan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Rakyat, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah untuk kesejahteraan rakyat. 


"Walaupun ketika ini berlakunya penularan wabak pandemik COVID-19, kita tiada pilihan melainkan meneruskan projek pembangunan demi untuk keperluan rakyat. 


"Bagaimanapun, pematuhan SOP itu sangat dititikberatkan bagi mengelak penularan COVID-19 sehingga boleh mewujudkan kluster baharu di tempat kerja," katanya. 



Projek Naik Taraf Dewan Kampung Bako Lot mengambil masa 16 minggu untuk disiapkan dan akan bermula pada 25 Mei sehingga 13 September 2021 dengan kos sebanyak RM100,000. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top