Music

Header Ads

Friday, July 27, 2018

Ahli Parlimen GPS Persoal Pendirian Chong Berhubung Tuntutan Royalti Minyak


KUCHING - Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempersoalkan pendirian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mengenai tuntutan royalti 20 peratus minyak dan gas untuk Sarawak.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PH Sarawak telah menawarkan royalti sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran minyak di negeri ini dan 50 peratus daripada kutipan cukai di Sarawak jika berjaya menawan Putrajaya.

Namun katanya, perkara ini bercanggah sama sekali dengan apa yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

“Persoalannya sekarang ialah apakah pendirian Chong mengenai tuntutan royalti 20 peratus itu? Adakah beliau akan terus bersama kerajaan Sarawak untuk tidak berganjak menuntut royalti 20 peratus atau sudah berubah?

“Apa yang jelas, harapan rakyat Sarawak kepada kerajaan PH adalah untuk menunaikan janji dalam Manifesto PH untuk memberikan royalti 20 peratus berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat semalam.

Tambah Fadillah, kenyataan Chong di Parlimen Rabu lepas yang mendakwa kerajaan Sarawak belum mempersetujui penurunan kuasa yang ditawarkan Putrajaya dan mendakwa kerajaan Sarawak tidak menjelaskan pendirian mengenai perkara itu adalah tidak berasas sama sekali.

Dalam kenyataannya, Chong juga menyebut tambahan royalti 15 peratus selain lima peratus ketika ini, melibatkan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion kepada RM5 bilion setahun, dan 50 peratus pendapatan cukai di Sarawak iaitu sebanyak RM3.5 bilion setahun, memandangkan Sarawak menyumbang kutipan cukai berjumlah RM7 bilion.

Justeru, beliau menyebut bahawa sejumlah RM8 bilion akan diberikan kepada Sarawak.

“Kerajaan Sarawak sejak Allahyarham Tok Nan mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, secara konsisten telah berjuang menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran berbanding lima peratus ketika ini.

“Manakala bagi penurunan kuasa, Allahyarham Tok Nan secara tegas dan konsisten menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan.

“Usaha Allahyarham itu telah diteruskan oleh Ketua Menteri sekarang, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sehingga ke hari ini,” katanya menambah Jawatankuasa Kabinet berkaitan MA63 juga telah ditubuhkan sejak 2016 dan ia dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Nancy Shukri (Sarawak) dan Datuk Seri Anifah Aman (Sabah).

Jelas Fadillah lagi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, tuntutan Allahyarham Tok Nan secara spesifik menumpukan kepada keperluan untuk kerajaan persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, rundingan penurunan kuasa pentadbiran daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sarawak sudah memasuki fasa kedua sebelum PRU14 yang lalu melibatkan perundingan antara Peguam Negara di peringkat persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Sabah.

Jawatankuasa teknikal di peringkat negeri juga sudah mengemukakan laporan teknikal perbincangan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Di samping itu, 13 peruntukan kuasa pentadbiran sudah dikembalikan oleh kerajaan persekutuan kepada Sarawak sejak 2016. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top