KUCHING - Para usahawan di negeri ini digesa memanfaatkan kepesatan ekonomi digital hari ini dalam memperluaskan pasaran dan meningkatkan kualiti produk untuk bersaing di pasaran yang lebih besar dan luas seperti di negara China, Timur Tengah, ASEAN, India dan sebagainya.
Menteri Muda Pembangunan Usahawan Industri Kecil & Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang Sarawak Datuk Haji Naroden Haji Majais berkata, mengambil kata-kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg, sejajar dengan perkembangan ekonomi digital usahawan tempatan perlu mengambil peluang dalam memperluaskan pasaran di negara-negara tersebut yang mempunyai populasi lebih kurang 3 bilion.
"Atas sebab itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan insfrastruktur digital di negeri ini bagi memudahkan pengusaha-pengusaha menjalankan perniagaan melalui ekonomi digital dan e-dagang.
"Pendek kata, segala urusan perniagaan kini terletak di hujung jari anda," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni yang mewakilinya di perasmian Emart Sarawak Product Fair 2018, di sini hari ini.
Program ini diadakan bagi memberi peluang kepada para usahawan mempromosi produk tempatan dan merupakan anjuran Kumpulan Syarikat Emart yang diadakan di kesemua premisnya di Matang Jaya, Tudan dan Riam selain perasmiannya yang diadakan di Emart Batu Kawa.
Terdahulu, Naroden dalam teks ucapannya mengalu-alukan langkah dan peranan yang telah diambil Emart dalam mengembangkan lagi produk tempatan keluaran usahawan tempatan ini.
"Langkah yang diambil Emart ini adalah sejajar dengan kehendak kerajaan pada hari ini dalam memperkasakan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negara dan negeri Sarawak.
"Kerajaan yakin bahawa sektor IKS berupaya menjadi peneraju kepada pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan kepada pertumbuhan lebih 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disumbangkan pengusaha IKS.
"Dalam pada itu, IKS telah menyediakan lebih dua pertiga peluang pekerjaan dalam sektor pekerjaan," katanya.
Menurut Naroden, usahawan juga perlu mengutamakan pelabelan dan pembungkusan produk bagi menarik minat pembeli selain aspek kebersihan dan keselamatan.
"Saya gembira melihat produk yang dihasilkan pengusaha tempatan telah diperbaiki mutu, rasa dan pembukusannya.
"Perkembangan ini telah memberi banyak pilihan kepada 'hypermartket' dan 'supermarket' untuk memasarkan produk keluaran usahawan tempatan secara meluas," ujarnya.
Kerajaan negeri Sarawak meminta agar pihak-pihak 'hypermartket' dan 'supermarket' memberi ruang dan peluang kepada usahawan tempatan membekalkan produk mereka di premis mereka.
"Kerajaan berharap pihak-pihak 'hypermartket' dan 'supermarket' akan dapat memberi ruang kepada usahawan-usahawan membekalkan produk keluaran tempatan.
"Jika produk mereka ini masih belum mencapai pengiktirafan, saya berharap agar syarikat-syarikat besar ini memberi bimbingan yang sewajarnya agar mereka dapat mempertingkatkan produk-produk mereka bagi memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan," tambahnya.
Dalam perkembangan dunia hari ini, sokongan kerajaan amat terhad dan selebihnya banyak bergantung kepada usaha dan kerajinan individu.
Justeru, usahawan dapat mempertingkatkan perniagaan mereka dengan menghasilkan produk yang berkualiti serta mempunyai nilai tambah dan daya cipta yang menarik bagi memantapkan lagi operasi perniagaan.
Beliau juga berharap agar program-program sebegini dapat diadakan secara lebih kerap dan diperluaskan di kawasan lain dalam membantu pengusaha IKS ini menjual produk mereka dan mempelbagaikan produk-produk baharu di masa depan.
No comments:
Post a Comment