Music

Header Ads

Friday, August 3, 2018

Kerajaan Negeri Sarawak Berusaha Jadikan Kuching Bandaraya Tercantik Di Malaysia


KUCHING - Sarawak berusaha menjadikan ibu negerinya Kuching sebagai bandar raya tercantik di negara ini melalui rancangan pelan pembaharuan bandar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, di bawah pelan tersebut, beberapa kawasan yang dianggap usang atau tidak elok di bandar raya ini akan dibangunkan semula.

“Untuk itu, kita (kerajaan) sedia menyalurkan peruntukan dan bekerjasama dengan sektor swasta yang mempunyai pengalaman dalam mentransformasikan kawasan ini (usang) kepada kawasan pembaharuan bandar raya Kuching yang cantik, bersih dan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jubli Mutiara 30 Tahun Bandar Raya Kuching dan Pesta Ria Kuching di Panggung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan Khay Syn.

Abang Johari menambah, bagi mereaslisasikna matlamat itu, kerajaan negeri turut menghantar kedua-dua datuk bandar bagi kawasan utara dan selatan untuk mempelajari kaedah membangunkan bandar moden dengan negara luar.

Mengambil contoh kawasan Padungan antara yang akan melalui proses itu katanya, ia akan dibangunkan menjadi sebuah kawasan yang lebih ‘vibrant’ daripada yang bersifat konvensional.

“Selain itu kita akan membangunkan laluan Jejak Warisan di bandar raya ini sebagai pendekatan untuk mencantikkan lagi bandar raya ini sekali gus menjadikan ia sebagai destinasi tarikan pelancong,” katanya.

Pelaksanaan Jejak Warisan di bandar raya ini, katanya, turut melibatkan kepada usaha membangunkan dan menaik taraf kampung-kampung Melayu di kawasan bandar, Fort Magherita dan kawasan di sepanjang Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

Tambah beliau, air pancutan berirama akan dibina berhampiran Jambatan Darul Hana sekali gus melengkapi keindahan jambatan itu termasuk laluan Jejak Warisan.

“Sempena menyambut Hari Bandar Raya Kuching Ke-30, saya berharap kita akan terus bekerjasama untuk mencantikkan bandar raya ini sebagai bandar raya terindah di Malaysia. Itulah matlamat kita,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut melakukan upacara menaikkan bendera Hari Bandaraya dan Pesta Kuching.

Dianggarkan seramai lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang sosial membanjiri majlis itu untuk bersama meraikan Ulang Tahun Hari Bandar Raya Kuching ke-30. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top