Music

Header Ads

Friday, January 31, 2020

Tinjau Sendiri Untuk Pastikan Projek Dilaksanakan Berkualiti Dan Mengikut Spesifikasi Ditetapkan - Dr Hazland



KUCHING: Setiap Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) ataupun projek-projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) mahupun Projek Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut akan dipantau dan ditinjau sendiri wakil rakyat. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Haji Hipni, ini adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan selain mengutamakan kualiti. 

“Saya sangat mementingkan kualiti dalam setiap projek dan yang lebih penting  ianya mengikut spesfikasi yang ditetapkan bagi memastikan projek yang disiapkan itu memenuhi piawaian dan standard yang ditetapkan.

“Apabila sesuatu projek itu mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan, pastinya projek itu mempunyai ketahanan yang lama. 

“Ini sekaligus akan memberikan manfaat kepada rakyat yang menerima bantuan atau masyarakat yang menggunakan perkhidmatan atau kemudahan yang disediakan atas nama Kerajaan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melawat rumah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) milik Idris bin Arip di Kampung Tabuan Drahman 1 pada Khamis. 

Rumah Idris yang sebelum ini mengalami kerosakan di beberapa bahagian kini sedang dalam proses baik pulih melibatkan penukaran atap, bumbung dan dinding baharu. 


Dalam pada itu, Dr Hazland turut mengambil kesempatan berbual dan berbincang dengan penduduk kampung bagi mengetahui perkara yang berlaku di Kampung Tabuan Drahman.

“Banyak perkara dan cadangan yang diperolehi daripada penduduk Kampung Tabuan Drahman selepas duduk bersembang dan minum petang.

“Selepas ini saya akan menilai dan mengkaji setiap perkara dan cadangan yang dikemukakan bersama dengan pegawai dan staf Pusat Khidmat N5 Demak Laut. 

“Inilah cara terbaik yang saya lakukan dengan pergi dan duduk sendiri bersama penduduk kampung dengan mendengar sendiri keluhan dan masalah rakyat,” ujarnya. 

Turut dibincangkan isu-isu semasa yang berlaku ketika ini khususnya virus Corona yang sedang melanda negara dan merisaukan masyarakat selepas beberapa kematian telah dicatatkan di luar negara.

Malah, beliau turut menasihatkan penduduk supaya menjaga kesihatan sama ada diri sendiri atau keluarga serta kediaman bagi memastikan semua penyakit dapat dibendung dan mengelak dijangkiti penyakit. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top