Music

Header Ads

Saturday, April 25, 2020

Dr Hazland Setuju PKP Diteruskan Demi Untuk Memutuskan Rantaian COVID-19


KUCHING: Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi Fasa Keempat bermula 29 hingga 12 Mei mendapat sokongan dan dilihat wajar berdasarkan situasi semasa hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata ini berdasarkan unjuran yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

“Statistik COVID-19 mula menunjukkan data mendatar berbanding naik pada awal pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas.

“Sejak beberapa lalu, jumlah mereka yang berjaya pulih melebihi jumlah kes positif COVID-19 baru dikesan.

“Ini menunjukkan Malaysia berada dalam keadaan tepat untuk terus memutuskan rantaian COVID-19 dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP dikekalkan, atau ditingkatkan sehingga menghampiri 100 peratus,” katanya semasa diminta mengulas mengenai pelanjutan PKP sehingga 12 Mei 2020 pada Jumaat.

Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan PKP telah dapat membantu para petugas kesihatan mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.


Dr Hazland menambah, Kerajaan Sarawak kini berusaha untuk pastikan kawasan Zon Hijau dipertingkatkan menerusi tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan kesalahan sepanjang PKP selain mengelakkan penghijrahan peringkat daerah di kawasan Zon Merah dan Zon Hijau.

"Sehingga hari ini, Kuching dan Samarahan masih dikategorikan sebagai Zon Merah dengan jumlah kes aktif yang direkodkan di semua kawasan itu adalah antara 44 hingga 196 kes.

“Manakala, Miri, Bau, Asajaya, Simunjan, Serian, Tebedu, Betong, Sri Aman dan Bintulu kini dalam kawasan Zon Kuning.

“Sementara Lawas, Mukah, Matu, Sarikei, Sibu, Limbang, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usang dalam kawasan Zon Hijau,” tambahnya.

Beliau turut meminta rakyat patuhi arahan PKP, jauhi tempat sesak dan ramai orang, elakkan tempat tertutup dan bercakap dalam jarak dekat, jaga kebersihan diri terutama kerap basuh tangan dengan sabun, mengunakan penutup hidung dan mulut jika keluar rumah dan membuat ujian saringan jika ada kemungkinan kontek dekat dengan kes positif atau kluster. -Buletin Gemak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top