Music

Header Ads

Friday, April 3, 2020

PKP Peringkat Kedua Lebih Ketat, Orang Ramai Diminta Patuhi PKP Demi Keselamatan Bersama


KUCHING: Orang ramai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut diminta untuk terus berada di rumah dan patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini. 

Menurut Penyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni, keadaan pesakit positif COVID-19 di kawasan Kuching masih belum menunjukkan tanda-tanda menurun dan bermula 1 hingga 14 April 2020, PKP kini memasuki peringkat kedua pelaksanaannya. 

“Melihat trend semasa wabak COVID-19 yang semakin menaik, pelaksanaan PKP peringkat kedua ini diharap dapat mengurangkan penularan wabak COVID-19 dengan pelaksanaan yang lebih ketat. 

“Ianya bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, sentiasa menjaga kebersihan diri dan pastikan arahan PKP ini dipatuhi untuk keselamatan bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai perkembangan semasa COVID-19 ketika ini kepada media pada Khamis. 


Dalam perkembangan yang sama, seramai 100 orang yang merupakan penerima e-kasih dari Kampung Tabuan Melayu, Kampung Selipur Putus Cemerlang (SPC), Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Lamak, Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Dani menerima bantuan berupa makanan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut. 

Menyentuh mengenai bantuan yang dijalankan ketika ini, Dr Hazland yang juga ADUN Demak Laut berkata beliau memberi jaminan bahawa tiada keluarga yang akan terputus dalam menerima bantuan ini.

“Untuk fasa pertama ini, mereka yang menerima bantuan ini merupakan Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam sistem e-kasih. 

“Golongan ini amat memerlukan bantuan memandangkan pendapatan mereka terjejas akibat terkesan dengan pelaksanaan PKP. 

“Dan, diharap bantuan ini dapat membantu mereka di sepanjang PKP ini,” ujarnya. 

Jelas Dr Hazland lagi, selepas berakhirnya fasa pertama ini, pihaknya akan dilaksanakan fasa kedua penyampaian bantuan yang akan melibatkan mereka yang tersenarai dalam penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, B40 dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top