Music

Header Ads

Saturday, April 4, 2020

Patuhi SOP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Dalam Penghantaran Bantuan Makanan


KUCHING: Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) menghantar bantuan terus kepada penerima bertujuan untuk menghadkan jumlah  mereka keluar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Penyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni ketika diminta mengulas peraturan ini berkata Kerajaan meminta rakyat untuk duduk rumah yang bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak. 

“Atas sebab itu, Kerajaan Persekutuan hanya membenarkan bantuan makanan yang disumbangkan itu dihantar ke Pejabat Residen dan Pejabat Daerah untuk diagihkan. 

“Di Sarawak, hanya Pusat Khidmat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibenarkan membantu dalam pengagihan bantuan makanan bersama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah bagi melancarkan penghantaran selain kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di peringkat kampung. 

“Jika tidak, ramai NGO’s yang akan bergerak di dalam kampung dalam penghantaran bantuan makanan dan ini telah melanggar PKP yang kini lebih ketat lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa dihubungi media pada Sabtu. 


Seramai 102 penerima yang meliputi seluruh Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Pinggan Jaya menerima bantuan makanan. 

Bantuan makanan ini merupakan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni. 

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata bantuan makanan yang sedang diagihkan ketika ini merupakan sumbangan kepada golongan sasar yang tersenarai dalam e-kasih. 

“Ketika ini mereka yang tersenarai dalam e-kasih adalah KIR yang berpendapatan di bawah RM1,500. 

“Kebanyakan mereka terkesan dalam PKP disebabkan sumber pendapatan mereka terjejas. Malah, mereka yang sebelum ini bergantung kepada pendapatan harian turut terjejas sama,” ujarnya. 

Menyedari hal ini, adalah wajar KIR di dalam e-kasih ini didahulukan bantuannya agar dapat meneruskan kehidupan dalam PKP ini. 

Hadir sama Penghulu Abang Merawi, Ketua Kampung Pinggan Jaya Ahmad Yahya dan Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Pinggan Jaya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top