Music

Header Ads

Monday, April 6, 2020

Kedai ‘Hardware’ Kini Dibuka Dua Kali Seminggu, Pada Selasa Dan Khamis


KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak membenarkan pembukaan kedai ‘hardware’ atau perkakasan pada setiap Selasa dan Khamis mulai minggu ini disambut baik. 

Penyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Dr Hazland Abang Hipni berkata keputusan ini pastinya memberikan kelegaan kepada setiap masyarakat. 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ramai yang sukar untuk mendapatkan barangan  perkakasan disebabkan penjualannya tidak dibenarkan. 

“Sebaliknya dalam tempoh itu, hanya penjualan barangan keperluan makanan sahaja dibenarkan. 

“Justeru, keputusan Kerajaan Sarawak membenarkan pembukaan kedai hardware dalam tempoh PKP Peringkat Kedua ini disambut baik dan melegakan banyak pihak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengulas keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada Ahad yang membenarkan pembukaan kedai pada setiap Selasa dan Khamis jam 7.00 pagi hingga jam 7.00 malam. 


Sementara itu, pemberian bantuan makanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut diteruskan dan kali ini destinasinya di Kampung Muhibbah. 

Menurut Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, pengagihan bantuan makanan di Kampung Muhibbah meliputi Fasa Satu dan Fasa Dua. 

“Berbeza di kampung-kampung lain sebelum ini, pengagihan bantuan makanan di Kampung Muhibbah meliputi dua fasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2.

“Seramai 117 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan makanan Fasa Satu meliputi penerima e-kasih dan Fasa Dua meliputi keseluruhan KIR. 

“Adalah diharap bantuan berupa makanan ini akan dapat membantu memenuhi keperluan keluarga dalam menempuhi arahan PKP peringkat kedua ini,” ujarnya. 

Hadir sama Ketua Kaum Yusuf Haji Suhaili dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PBB Ranting Muhibbah.

No comments:

Post a Comment

Back To Top