Music

Header Ads

Wednesday, April 8, 2020

Proses Pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Berjalan Lancar Di DUN Demak Laut


KUCHING: Proses pengihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang yang memasuki fasa kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berjalan lancar. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland berkata sehingga kini pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di DUN Demak Laut kini telah meliputi 3,778 Ketua Isi Rumah (KIR). 

“Pada hari ini (Selasa), kita mengagihkan sebanyak 271 Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di Kampung Muara Tebas. 

“Sehingga kini, bantuan tersebut sudah diagih kepada 3,778 Ketua Isi Rumah daripada jumlah keseluruhan 5,698 KIR di DUN Demak Laut. 

“Pengagihan bantuan ini diadakan secara berperingkat dan menyeluruh untuk pastikan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang sampai kepada penerima,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengagihkan Bantuan Sarawakku Sayang di Kampung Muara Tebas pada Selasa. 


Ketika ini, berlaku sedikit masalah pengagihan bantuan makanan disebabkan beras tidak mencukupi. 

Walau bagaimanapun, masalah ini akan cuba diatasi segera dengan pembekal bagi memastikan bekalan beras mencukupi. 


Dr Hazland yang juga Penyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu mengingatkan penduduk di kawasan Pesisir Kuching khususnya dari Tanjong Datu ke Kota Samarahan untuk menjaga kebersihan diri dan patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan beberapa kawasan di Kuching dan Kota Samarahan dikategorikan sebagai Zon Merah. 

“Berdasarkan statistik harian COVID-19 yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada Selasa menunjukkan pertambahan kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di pinggir Kuching dan Samarahan. 

“Lebih merisaukan lingkaran kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 ini kian membesar. 

“Justeru, orang ramai dinasihatkan pertingkatkan kebersihan diri dan duduk di rumah untuk pastikan keselamatan diri terjamin,” ujarnya. 

Hadir sama Ketua Kaum Sudin Rasit, Ketua Ranting PBB Dabib Pani dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ahli-ahli PBB Ranting Muara Tebas.

No comments:

Post a Comment

Back To Top