Music

Header Ads

Saturday, May 16, 2020

Cadangan Henti Projek Jalan Utama Kedua Beri Kesan Negatif Kepada Pembangunan Kawasan Pesisir - Dr Hazland


KUCHING: Tindakan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh dan Naib Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa  yang mahu pembinaan Jalan Utama Kedua dibatalkan dengan memberikan alasan kos pembinaannya yang mahal tidak dapat diterima pemimpin tempatan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata tindakan mereka ini seolah-olah menidakkan keperluan dan kehendak masyarakat di luar bandar dalam menerima pembangunan secara menyeluruh.

“Sekiranya Jalan Utama Kedua dihentikan ianya bukan sahaja menidakkan pembangunan, tetapi juga merencatkan jaringan pengangkutan di Sarawak seperti yang telah dirancang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan rakyat khususnya di kawasan luar bandar. 

“Jika kos pembinaan RM6 bilion yang dipersoalkan, apakah tidak melihat pelan jangka masa panjang kepada peningkatkan sosioekonomi dan pendapatan rakyat dengan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negeri? 

“Juga, apakah rakyat yang tinggal di luar bandar bersetuju dengan cadangan memberhentikan projek itu? Jawapannya pasti tidak, kerana rakyat sudah lama mahu menikmati pembangunan seperti mana yang diperjuangkan GPS dengan slogan ‘rakyat diutamakan’,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat. 

Jelas Dr Hazland lagi, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, misalnya, pembinaan Jalan Tanjong Embang - Bliong dan di Buntal-Bako merupakan sebahagian dari Jalan Pesisir yang menghubungkan kawasan di pinggir bandar. 

“Jalan Tanjong Embang - Bliong dan Buntal - Bako ini akan menghubungkan pusat peranginan dan kawasan pelancongan antara Santubong dan Taman Negara Bako yang sememangnya terkenal di seluruh dunia. 

“Kebanyakan penduduk yang tinggal di luar bandar merupakan nelayan, petani dan penternak, dengan mereka ini amat memerlukan jaringan pengangkutan yang baik bagi memasarkan hasil dan produk mereka ke bandar. 

“Malah, pembinaan kemudahan pengangkutan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir juga membuka peluang pembangunan dan menaikkan nilai hartanah yang semenangnya sangat diperlukan bagi mempertingkatkan sosioekonomi penduduk setempat,” ujarnya. 

Justeru, jika bekas Presiden PSB dan Naib Presiden PSB itu tetap dengan pendiriannya mahu memberhentikan Jalan Utama Kedua jelas bahawa kedua-dua pemimpin itu secara terang-terangan menolak pembangunan kawasan di luar bandar dan sekaligus menidakkan suara rakyat yang mahukan pembangunan. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top