Music

Header Ads

Friday, May 15, 2020

Malaysia Di Landasan Baik Putuskan Rantaian COVID-19, Rakyat Harus Terus Patuhi Arahan PKPB


KUCHING: Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik COVID-19, sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni berkata ini susulan daripada kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa Kadar Kebolehjangkitan di Malaysia kini telah menurun daripada 3.55 kepada 0.3. 

“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kadar Kebolehjangkitan atau Ro ‘R Naught’ 3.55 iaitu pada tahap tinggi. 

“Bagaimanapun, pelaksanaan PKP telah menunjukkan trend penurunan dengan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam dilaksanakan antaranya duduk di rumah, penjarakkan sosial, sentiasa cuci tangan, guna penutup hidung dan mulut dan membuat saringan COVID-19. 

“Sejak PKP pertama, kedua, ketiga dan keempat serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan disertakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam Kadar Kebolehjangkitan menurun kepada 0.3. 

Ini suatu perkembangan positif yang ditunjukkan negara dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya semasa mengulas mengenai perkembangan terkini COVID-19 pada Khamis. 


Dr Hazland yang juga pengamal perubatan berkata sejak kebelakangan ini, seperti diumumkan Ketua Pengarah KKM trend kes kumulatif yang pulih dan discaj adalah melebihi kes baru COVID-19. 

“Selain menurunkan Kadar Kebolehjangkitan, perkembangan positif yang ditunjukkan terhadap kes kumulatif yang pulih dan sembuh serta diacaj daripada hospital kian meningkat juga suatu perkara yang baik. 

“Situasi ini menunjukkan kualiti perubatan kita di Malaysia sangat tinggi dan diiktiraf dunia. 

“Tidak hairanlah Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah diiktiraf sebagai seorang pakar perubatan unggul dunia dalam menangani COVID-19 oleh portal berita berbahasa Inggeris, Chinese Global TV Network (CGTN) setanding dua nama besar lain, iaitu pakar bidang penyakit jangkitan di Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield,” ujarnya. 

Justeru, untuk meneruskan penurunan Kadar Kebolehjangkitan dan meningkatkan kes kumulatif pulih dari hospital, langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP dan PKPB perlu terus dipatuhi rakyat. 


Ingatlah setiap arahan yang diarahkan kerajaan dan pihak berkuasa bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi semua ini adalah untuk kebaikan dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

No comments:

Post a Comment

Back To Top