DEMAK LAUT, Kuching: Kebajikan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut sentiasa dijaga bagi memastikan setiap masyarakatnya mendapat bantuan sewajarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, selain sumbangan kepada golongan asnaf, Pusat Khidmat N5 Demak Laut juga menyalurkan bantuan sumbangan kepada keluarga waris yang telah kehilangan ahli keluarga.
“Setiap ahli keluarga waris yang meninggal dunia akan menerima sumbangan berbentuk wang tunai.
“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban keluarga waris yang telah kehilangan ahli keluarga,” katanya ketika mengulas mengenai penyampaian sumbangan tersebut pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Hazland mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Skuad Kasih Sayang DUN Demak Laut dan pemimpin di peringkat kampung yang selama ini banyak membantu menyalurkan bantuan kepada keluarga waris.
“Sejak adanya Skuad Kasih Sayang DUN Demak Laut, peranan yang dimainkan mereka sangat besar dalam membantu menyampaikan sumbangan kepada keluarga waris.
“Begitu juga dengan pemimpin peringkat kampung seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang turut membantu dalam mengenal pasti mereka yang seharusnya dibantu khususnya keluarga waris,” ujarnya. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment