Music

Header Ads

Tuesday, November 24, 2020

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting Untuk Lahirkan Modal Insan Berkualiti Tinggi Suatu Hari Nanti

 

DEMAK LAUT, Kuching: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan perkara yang sangat penting dalam usaha untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ianya perlu dipupuk sejak kecil lagi agar apabila besar kelak dapat menjadi seorang insan yang berguna dan berjaya. 

“Pada ketika pendidikan prasekolah, kanak-kanak yang berumur dua hingga enam tahun belajar bermain, mempunyai naluri ingin tahu, perkembangan menyeluruh, penerapan nilai murni, kreativiti dan kecerdasan pelbagai.

“Untuk memastikan usaha ke arah itu berjaya mencapai matlamatnya, ianya harus disokong dan dibantu dengan peruntukan yang mencukupi.


“Atas sebab itu, institusi pendidikan prasekolah di kawasan Zon Bako ini disalurkan dengan dana yang mencukupi bagi memastikan pendidikan kanak-kanak dapat diuruskan dengan baik,” katanya bagi mengulas sumbangan yang disampaikan kepada Tabika KEMAS Muara Tebas, Kelas Bina Insan Muara Tebas, Taska KEMAS SPS Hijrah Bako dan Tabika KEMAS Skim Penempatan Bako pada Isnin. 

Mengulas lanjut, pada era hari ini anak-anak telah mula didedahkan dengan gajet dan teknologi dalam membantu pembelajaran secara tidak formal sebelum memasuki alam persekolahan. 

“Hari ini anak-anak telah didedahkan dengan penggunaan teknologi digital yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara tidak formal dapat diadakan.

“Ini termasuklah melihat YouTube, permainan video digital dan sebagainya yang boleh memperkembangkan minda anak-anak.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dipantau dan diberikan perhatian yang sewajarnya agar anak-anak tidak terlalu leka dan menjejaskan kesihatan dan minda mereka,” ujarnya lagi. 


Perkembangan ini jika diamati sudah menjadi trend di dalam masyarakat kita yang kini sedang mengalami revolusi digital dan seharusnya perlu dikawal bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik dan berkualiti. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top